
BERPUASA pada bulan Ramadan merupakan salah satu daripada rukun Islam. Umat Islam sentiasa berlumba-lumba mencari keberkatan dalam bulan mulia ini dengan memperbanyakkan ibadah dan meningkatkan ketakwaan.
Bukan hanya mendidik diri daripada menahan lapar dan dahaga, ia juga mengajar erti kesabaran dan lebih bersyukur, selain memberi manfaat pada kesihatan fizikal, mental dan rohani.
Di Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, bulan Ramadan juga dinantikan oleh golongan bukan Islam.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Hampir 14 tahun Soo Wincci berpuasa dan gemar menikmati menu sahur yang ringkas dan sihat . — Instagram selebriti
Antara yang sentiasa teruja ketibaan Ramadan ialah pelakon, penyanyi dan pendidik, Dr. Soo Wincci, 40, yang telah berpuasa hampir 14 tahun.
Beliau bukan sahaja berpuasa, malah turut berkongsi tip untuk kekal bertenaga sepanjang hari menerusi media sosialnya.
Dalam perkongsian tersebut, bekas ratu cantik itu berkongsi tiga menu sahur yang ringkas, berkhasiat dan mudah disediakan.
Antaranya ialah kurma energy balls, minuman kurma, dan onigiri. Kesemua menu yang dicipta oleh Soo Wincci sendiri menggunakan bahan-bahan seperti kurma, kacang, bijan dan lain-lain.
Mekyun teruja mendapat sokongan dan dorongan orang sekeliling ketika cuba berpuasa. — Instagram selebriti
Selain itu, pempengaruh dan pelakon berbangsa Cina yang terkenal dengan kefasihan bahasa Malaysia dan dialek Kelantan, Wee Yun Nee atau dikenali sebagai Mekyun turut berkongsi pengalamannya berpuasa.
Keputusan itu diambil bagi merealisasikan cadangan pengikutnya yang 'mencabar' beliau berpuasa selepas akaun TikToknya yang memiliki lebih 1 juta pengikut dikembalikan selepas dilenyapkan (banned) beberapa hari lalu.
Komen itu menyatakan, 'atas berita gembira ini, apa kata nanti Mekyun puasa penuh satu hari'.
Menerusi hantaran video di akaun TikToknya, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu meluahkan keterujaannya kerana berjaya berpuasa penuh.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada orang sekeliling yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya sepanjang berpuasa.
"Akhirnya Mekyun berjaya berpuasa. Bukan senang, tetapi Mekyun sedar satu benda hari ini. Dalam hidup ini, kadang-kadang kita rasa nak mengalah, tetapi apabila ada orang percaya dekat kita, memberi sokongan dan selalu ada, itu yang buat kita bangun balik. Kalianlah (pengikut) orang itu," luahnya sambil menambah, puasa juga mengajarnya erti kesabaran, keikhlasan dan rasa syukur.
Tara Choi kelahiran Korea Selatan menyatakan tahun ini adalah tahun keempatnya berpuasa. — Instagram selebriti
Tidak terlepas berpuasa, pempengaruh berasal dari bumi Kimchi, Tara Choi, yang menetap di Malaysia sejak 2018.
Menurutnya, 2025 merupakan tahun keempat berpuasa.
Melalui perkongsian video di akaun TikTok, gadis kelahiran Korea Selatan itu menyambut hari pertama Ramadan bersama keluarga rakannya di Terengganu.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata pengguna terhibur melihat gelagat wanita itu bertutur dalam bahasa Malaysia. Tidak kurang juga yang mendoakannya agar dikurniakan hidayah untuk memeluk Islam.
Ketiga-tiga wanita ini, walaupun bukan Muslim, menunjukkan semangat yang tinggi dalam menghormati bulan Ramadan.
Perkongsian mereka melalui platform media sosial memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat Ramadan dari sudut berbeza.
Selain itu, pengalaman mereka turut memberi inspirasi untuk lebih menghargai keunikan dan keistimewaan bulan yang penuh keberkatan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram