
PENDUDUK di Kuchai Entrepreneurs Park, Kuala Lumpur berasa kecewa dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sering mengeluarkan saman terhadap mereka.
Penasihat Persatuan Penduduk Kuchai Entrepreneurs Park (RA), Banie Chin berkata, ada penduduk yang menerima sehingga tiga saman sehari, yang menjadi beban kepada mereka kerana setiap saman dikenakan bayaran sebanyak RM50.
"Perkara ini sudah berlaku sejak Januari. Sangat tidak wajar bagi penduduk untuk menerima tiga saman sehari hanya kerana meletak kenderaan di luar rumah kedai yang menjadi kediaman mereka.
"Saman-saman ini juga tidak dinyatakan tempoh masa, jadi ramai penduduk terus meletakkan kenderaan di tempat sama selepas membayar saman pertama, hanya untuk disaman lagi oleh DBKL," katanya semasa sidang media bersama penduduk yang terjejas.
BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin
BACA LAGI: Tambah baki siap-siap jika ke Pulau Pinang, kadar parkir naik 50 peratus bermula Isnin
Beliau mencadangkan agar DBKL mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar bayaran parkir mengikut jam dan menyediakan pas parkir bulanan jika cadangan pertama tidak dapat dilaksanakan.
Pada masa ini, DBKL mengenakan bayaran RM140 untuk pas parkir bulanan, manakala kadar parkir mengikut jam pula adalah RM1 sejam.
Chin berkata, pas bulanan itu tidak menjamin tempat letak kereta bagi mereka yang membelinya, yang mengakibatkan penduduk akhirnya dikenakan saman apabila mereka tidak dapat mencari tempat sesuai untuk meletakkan kenderaan masing-masing
"Bagaimanapun, penyediaan tempat parkir yang dijamin mungkin memberi kesan kepada perniagaan di kawasan tersebut," katanya.
"DBKL perlu mencari jalan penyelesaian yang seimbang antara kepentingan penduduk dan perniagaan," tambahnya lagi.
Kuchai Entrepreneurs Park adalah kawasan pembangunan bercampur, dengan unit komersial di tingkat bawah dan unit kediaman di tingkat atas.
Chin berkata, pihak RA akan mengemukakan permintaan mereka kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Naib Presiden MCA Seputeh, Pang Kin Cheong dan Presiden RA Kuchai Entrepreneurs Park, Teo Ah Huai.
Pang berkata, kadar parkir mengikut jam dan harga pas parkir bulanan yang dikenakan adalah terlalu mahal memandangkan Kuchai Entrepreneurs Park terletak di luar pusat bandar.
"DBKL seharusnya merujuk kepada majlis perbandaran lain dalam menetapkan kadar parkir dan penguatkuasaan.
"Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Subang Jaya hanya mengenakan RM80 untuk pas parkir bulanan, manakala di Puchong Jaya, denda saman hanya RM10 jika dibayar dalam sehari.
"Agak mahal untuk mengenakan denda RM50 kepada penduduk di sini walaupun mereka membayar dengan segera," tambah Pang.
Teo pula menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu itu segera agar penduduk tidak terbeban dengan saman parkir yang berterusan.
"Beberapa penduduk memiliki lebih daripada satu kenderaan. Ini akan menjadi beban yang besar jika setiap kenderaan dikenakan saman setiap hari, lebih buruk lagi jika pegawai penguat kuasa datang dua hingga tiga kali sehari," katanya.
Sehingga kini, DBKL belum memberikan sebarang respons mengenai isu terbabit. — The Star/ LEW GUAN XI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram