Wan Azizah lancar program STEM khusus untuk wanita muda, inisiatif Pandu Puteri bersama Siemens


  • Berita
  • Isnin, 10 Mac 2025

(Dari kiri) Gonzales, Yeoh, Dr. Wan Azizah, Danze dan Ong.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (GGAM) telah bekerjasama dengan Siemens Malaysia dan STEM Academy Malaysia untuk menawarkan latihan dalam bidang teknologi dan kejuruteraan kepada golongan wanita muda.

Kerjasama ini yang diperkenalkan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025, bertujuan menginspirasi dan memperkasakan wanita untuk menceburi kerjaya yang berkaitan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Inisiatif ini telah dilancarkan oleh Presiden GGAM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu majlis bertemakan "#AccelerateAction".

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Wanita Sedunia, Candela Gonzales, Ketua Pesuruhjaya GGAM, Datuk Yeoh Soo Keng, Pengetua STEM Academy, Charlene Ong serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze.

BACA LAGI: Wanita muda berilmu bijak buat keputusan sebagai pemimpin cekap, pendidikan agenda utama Izzana

BACA LAGI: Aktivis, pakar pendidikan senada pendidikan wajib sekolah menengah harus jadi keutamaan demi remaja perempuan kekal bersekolah

Melalui kerjasama ini, Siemens dan STEM Academy Malaysia akan bekerjasama dengan GGAM untuk menyediakan rangkaian sumber serta latihan yang komprehensif bagi membekalkan wanita muda dengan kemahiran, peralatan dan keyakinan yang diperlukan untuk terus cemerlang meneraju bidang STEM.

Inisiatif ini merangkumi pengalaman praktikal dengan teknologi industri yang relevan, termasuk pengekodan dan kecerdasan buatan (AI), percetakan 3D, serta pembuatan prototaip menggunakan pemotong laser.

Menekankan kepentingan untuk mempercepatkan tindakan ke arah kesaksamaan, Dr Wan Azizah berkata, “Jurang kesaksamaan masih menjadi cabaran dan kita perlu menghadapinya dengan keberanian dan tekad. Ia bermula dengan keterbukaan kolektif terhadap peluang, menyedari bahawa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.”

Sementara itu, Yeoh berkata inisiatif ini sejajar dengan tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi 2025, iaitu 'Untuk Semua Wanita dan Gadis: Hak. Kesaksamaan. Pemerkasaan.'

“Bidang STEM memainkan peranan penting dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya dalam memajukan kesamarataan jantina demi memacu pertumbuhan ekonomi.

“Kerjasama ini hadir pada saat yang kritikal, memberikan peluang unik untuk melahirkan pemimpin wanita masa depan Malaysia. Kami berterima kasih kepada Siemens dan STEM Academy atas penyertaan mereka dalam perjalanan ini dan berharap dapat melihat kesan positif daripada kerjasama masa hadapan,” kata Yeoh, yang merupakan seorang jurutera awam dengan 40 tahun pengalaman dan pemenang anugerah Leading Lady of The Year oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada tahun 2018.

Dalam pada itu, Danze menekankan keperluan untuk lebih ramai jurutera, saintis dan ahli teknologi dalam era transformasi teknologi yang pesat.

“Ini bermakna kita perlu menghapuskan stereotaip jantina dalam bidang kerjaya ini dan ia perlu bermula dari pendidikan awal. Kami berharap lebih ramai wanita di Malaysia akan terinspirasi oleh tokoh seperti Datuk Yeoh untuk mengejar kerjaya yang berjaya dalam STEM,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Siemens Malaysia telah bekerjasama dengan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) sejak 2021 untuk menggerakkan latihan berasaskan industri melalui teknologi canggih.

Menurut Danze lagi, STEM Academy ialah rakan latihan rasmi Siemens. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

Pandu Puteri, Siemens, Wan Azizah, STEM