
TRAGEDI menimpa seorang wanita warga Jepun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, Selangor mengemparkan banyak pihak.
Pemergian Akiko Okumura, 50-an, bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada suaminya, pemengaruh dan usahawan Abd Ridzuan Abdul Mutalib, bahkan meninggalkan kesan emosi kepada anak mereka, Sky Taizo Okumura (Sky) berusia 13 tahun.
BACA LAGI: Sampai 3 kali kena saman sehari, penduduk Kuchai Entrepreneurs Park harap DBKL sedia pelekat bulanan
Pemergian Akiko (kanan) bukan sahaja mengejutkan, malah meninggalkan kesan mendalam dan kesedihan dalam diri anak tunggalnya, Sky.
Dalam hantaran di laman Instagram, suami mangsa, Abd Ridzuan atau popular dengan nama Ridz Okumura, meluahkan rasa sedih atas pemergian isteri tercinta.
Beliau juga memuat naik keadaan anak lelakinya yang sering menangis dek kehilangan ibu tersayang.
Tambahan pula, umum mengetahui Sky mempunyai hubungan cukup akrab bersama Akiko atau nama Islamnya, Aisyah Abdullah.
Bagi memahami kesan psikologi terhadap kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa pada usia muda, Majoriti mendapatkan pandangan pakar psikologi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad.
Fauziah berkata, kehilangan ibu atau ayah adalah pengalaman traumatik bagi kanak-kanak dan memerlukan sokongan emosi berterusan.
Pensyarah Kanan UPSI itu turut menyenaraikan beberapa tip yang boleh dilaksanakan bagi membantu kanak-kanak yang sedang menghadapi kesedihan.
1. Beri ruang luah perasaan
Fauziah berkata, anak-kanak perlu diberikan ruang selamat untuk menangis, berkongsi perasaan dan mengenang insan tersayang.
"Elak memaksa mereka untuk cepat pulih atau menekan supaya tidak bersedih," katanya.
2. Kekal rutin harian
Mengekalkan rutin harian memberikan mereka rasa kestabilan dan keselamatan bagi mengurangkan rasa cemas yang timbul akibat kehilangan.
3. Guna bahasa sesuai usia
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan supaya ibu, bapa atau penjaga menerangkan konsep kematian dengan cara mudah difahami tanpa menakutkan atau mengelirukan anak-anak.
"Elak menggunakan frasa samar seperti 'ibu tidur lama'," jelasnya lanjut.
Fauziah menyatakan tidak salah berkongsi kepiluan di media sosial, namun interaksi bersama keluarga, sahabat ataupun kaunselor lebih baik atasi kesedihan dialami. — Gambar hiasan/Freepik
4. Aktiviti kenangan positif
Menurut Fauziah, aktiviti seperti menyusun album gambar, menulis surat kepada insan yang telah pergi atau melakukan aktiviti pernah dilakukan bersama-sama juga salah satu cara membantu proses pemulihan secara sihat.
Secara tidak langsung, kesedihan dialami beransur kurang sedikit demi sedikit.
5. Dapatkan sokongan profesional
Jika kanak-kanak menunjukkan tanda kemurungan berpanjangan, masalah tidur atau perubahan tingkah laku yang ketara, disaran mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau psikologis.
Selain itu, Fauziah turut mengulas mengenai kecenderungan sesetengah individu berkongsi kesedihan mereka secara terbuka di media sosial.
Menurut beliau, terdapat individu yang berasakan komuniti media sosial sebagai ruang sokongan membantu mereka meluahkan tekanan dan mendapatkan empati.
Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan agar berhati-hati kerana tidak semua orang dalam talian bersikap positif.
"Media sosial boleh menjadi ruang sokongan, tetapi perlu diingatkan bahawa tidak semua orang bersikap baik.
"Ada yang memberi sokongan, namun ada juga bersikap sebaliknya," jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun interaksi dalam talian boleh memberi kelegaan, sokongan daripada keluarga, sahabat dan kaunselor adalah penyelesaian terbaik mengatasi kesedihan.
"So the best support group adalah keluarga, kawan-kawan dan komuniti," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram