
NAFAS berbau atau dikenali secara perubatan sebagai halitosis merupakan masalah yang dialami oleh kira-kira satu daripada empat orang di dunia.
Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk makanan tertentu, gangguan kesihatan dan masalah pergigian.
Untuk mengetahui punca nafas berbau, langkah pertama yang disarankan adalah berjumpa dengan doktor gigi.
Punca
Salah satu penyebab utama nafas berbau adalah kebersihan mulut yang buruk. Jika seseorang tidak memberus gigi dengan kerap, tidak menggunakan benang gigi atau tidak menjalani pemeriksaan gigi secara berkala, bakteria boleh membiak di dalam mulut.
Bakteria boleh menyerang gigi, menyebabkan kaviti, penyakit gusi dan akhirnya menyebabkan nafas berbau.
Penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis juga merupakan punca utama. Gingivitis adalah keradangan pada gusi yang disebabkan oleh plak gigi, manakala periodontitis boleh menyebabkan kerosakan serius pada gusi dan gigi.
Dalam keadaan lebih teruk, penyakit gusi yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi serius.
Asid daripada perut bocor ke dalam esofagus boleh menyebabkan bau masam yang tidak menyenangkan pada nafas.
Selain kebersihan mulut, berikut beberapa faktor lain juga boleh menyebabkan nafas berbau:
Mulut kering
Kekurangan air liur boleh menyebabkan mulut kering yang membolehkan bakteria berkembang biak.
Perokok dan mereka yang mengambil ubat tertentu berisiko mengalami masalah tersebut.
Penyakit Refluks Gastroesofagus (GERD)
Asid daripada perut bocor ke dalam esofagus boleh menyebabkan bau masam yang tidak menyenangkan pada nafas.
Batu tonsil
Deposit kalsium yang terbentuk di tonsil boleh memerangkap sisa makanan dan menyebabkan bau mulut yang tidak sedap.
Diabetes
Penghidap diabetes berisiko tinggi untuk mendapat penyakit gusi, yang boleh menyebabkan nafas berbau.
Penyakit hati dan ginjal
Penyakit hati dan ginjal yang serius boleh menyebabkan bau nafas seperti bau telur busuk atau bau ammonia.
Penyakit saluran pernafasan
Jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia atau bronkitis juga boleh menyebabkan nafas berbau terutamanya jika disertai dengan batuk yang menghasilkan kahak.
Jilat belakang tangan
Jika anda malu untuk bertanya kepada orang lain tentang nafas berbau, terdapat ujian mudah dilakukan sendiri.
Caranya adalah dengan menjilat belakang tangan anda, biarkan air liur kering dan kemudian bau tangan tersebut.
Jika baunya tidak menyenangkan, kemungkinan besar anda mempunyai nafas berbau.
Bunuh bakteria
Jika nafas berbau berterusan, adalah penting untuk mengenal pasti punca masalah tersebut dan mendapat rawatan yang tepat.
Jika masalah berpunca daripada kebersihan mulut yang buruk, prosedur pembersihan gigi di klinik pergigian adalah langkah pertama.
Proses itu termasuk membuang plak dan tartar yang terkumpul pada gigi.
Selain itu, doktor gigi mungkin mencadangkan penggunaan ubat kumur untuk membunuh bakteria dalam mulut.
Langkah pencegahan
Untuk mencegah nafas berbau, pastikan anda menjaga kebersihan mulut dengan baik. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:
1) Minum banyak air untuk memastikan mulut tidak kering.
2) Elakkan alkohol atau kafein yang boleh menyebabkan mulut kering.
3) Memberus gigi dua kali sehari pada waktu pagi dan sebelum tidur.
4) Gunakan benang gigi secara berkala dan alat pembersih lidah untuk menghilangkan bakteria dan sisa makanan.
5) Gunakan ubat kumur bebas alkohol untuk membantu mengekalkan kesegaran nafas.
6) Lawati doktor gigi setiap enam bulan untuk pemeriksaan berkala dan pembersihan gigi. — The Star/DR Y.L.M.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram