Enggan tawar saiz melebihi XL, Radzuan Radziwill mahu si pemakai amal gaya hidup sihat


Antar koleksi Bergaya Raya 2025 oleh Radzuan Radziwill yang mengetengahkan gaya 'long flowy' dan 'resort'. — Instagram/@radzuanradziwill

SINONIM dengan rekaan elegan yang menjadi pilihan utama buat penggemar fesyen khususnya golongan VVIP dan kerabat diraja, Datuk Radzuan Radziwill adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri fesyen tanah air.

Sebagai pereka fesyen yang berpengalaman, beliau dikenali dengan penggunaan fabrik berkualiti tinggi, cetakan eksklusif dan kerja tangan yang teliti.

Walaupun ada yang berpendapat rekaannya lebih sesuai untuk golongan yang lebih berusia dan kelihatan serupa setiap tahun, beliau menjelaskan bahawa apa yang dilihat sebagai rekaan klasik itu adalah DNA sebenar jenamanya, Radzuan Radziwill.

Bagi beliau, menjaga kualiti dan integriti jenama adalah lebih penting daripada mengikuti trend semasa.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Datuk Radzuan (tengah) selepas melancarkan koleksi Bergaya Raya 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Sebenarnya, reka bentuk kami bukan bertujuan untuk menjadi segar dengan perubahan besar setiap tahun. Ini adalah DNA Radzuan Radziwill yang menekankan siluet lembut, flowy dan elegan. Saya tidak mahu lari daripada konsep yang telah saya bina sejak awal.

Meskipun banyak VVIP dan golongan kerabat diraja memakai rekaan kami, saya faham pandangan anak muda yang mungkin merasakan ia terlalu mahal atau tidak sesuai dengan gaya mereka," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, beliau merancang untuk memperkenalkan beberapa rekaan baharu yang lebih sederhana dan ringan, pada masa sama mengekalkan kualiti.

"Mungkin pada masa akan datang, kami akan menawarkan lebih banyak pilihan reka bentuk yang lagi minimal supaya lebih ramai boleh memakainya," tambahnya.

Pun begitu, Radzuan menegaskan bahawa beliau tidak mahu menurunkan harga produk kerana kualiti adalah perkara utama.

"Saya tidak akan menjual produk dengan harga yang sangat rendah, seperti RM100 atau RM200, kerana bagi saya, kualiti adalah sangat penting. Saya menggunakan fabrik berkualiti tinggi dan setiap rekaan kami melibatkan kerja tangan yang teliti. Kami juga mencipta cetakan sendiri, bukan sekadar meniru rekaan sedia ada," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa jenama Radzuan Radziwill lebih fokus kepada pasaran niche berbanding memenuhi kehendak semua golongan.

"Kami lebih fokus untuk menyasarkan pasaran yang lebih kecil dan eksklusif. Kami tidak mahu menjadi jenama pasaran massa. Kami mahu memastikan setiap pelanggan kami mendapat produk yang berkualiti tinggi," katanya.

Meskipun harganya agak tinggi, Datuk Radzuan menjelaskan bahawa rekaan Radzuan Radziwill tetap mampu milik.

"Harga produk kami mungkin ditetapkan antara RM300 hingga RM500 dan dengan adanya sistem ansuran dalam talian, pelanggan kini lebih mudah untuk memiliki rekaan kami. Kami mahu memastikan bahawa setiap pelanggan mendapat produk yang bernilai," tambahnya.

Selain itu, Radzuan kini sedang meluaskan pasaran antarabangsa dengan menyasarkan pelanggan dari negara-negara Arab.

"Di pasaran antarabangsa, khususnya untuk pelanggan Arab, mereka lebih suka memakai pakaian dengan seluar berbanding dengan sarung. Oleh itu, kami akan menawarkan rekaan yang lebih versatil yang boleh dipakai bukan hanya untuk hari raya, tetapi juga untuk kegunaan harian," ujar beliau.

Corak pada rekaan Radzuan Radziwill adalah ciptaannya sendiri tanpa meniru atau membeli daripada pihak ketiga. —Radzuan Radziwill

Lebih sekadar bergaya

Mengulas mengenai saiz, beliau enggan menawarkan saiz pakaian lebih besar daripada XL dalam koleksinya seperti beberapa jenama lain.

Keputusan itu dibuat bagi menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan pelanggannya. Sebagai seorang pereka fesyen, beliau merasa bertanggungjawab untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan melalui rekaannya.

"Saya tidak menggalakkan pelanggan untuk memakai pakaian yang lebih besar daripada saiz XL kerana bagi saya, kesihatan adalah lebih penting daripada sekadar bergaya.

Bagi saya, saiz XL sudah cukup besar dan saya tidak mahu mendorong pelanggan ke arah saiz yang lebih besar," jelasnya.

Beliau percaya bahawa pelanggan yang memakai pakaian dari jenamanya harus menjaga kesihatan mereka dan menggunakan pakaian yang direka untuk memberi sokongan kepada gaya hidup sihat.

Beliau juga berkongsi pengalaman peribadi tentang bagaimana beliau berjaya menurunkan berat badan dan lebih fokus kepada gaya hidup sihat.

"Dulu saya 83 kilogram (kg), tetapi sekarang saya lebih ringan. Saya rasa lebih sihat dan lebih bertenaga sekali gus membolehkan saya untuk bekerja lebih produktif dan menghasilkan lebih banyak rekaan," katanya.

Antara koleksi raya Radzuan Radziwill yang dipadankan dengan selendang. — Instagram/@radzuanradziwill

 

Bergaya Raya 2025

Dalam perkembangan sama, Radzuan memperkenalkan koleksi terbaharu menerusi Bergaya Raya 2025 yang diilhamkan daripada bulan Ramadan dan hari raya yang bukan sahaja mempamerkan rekaan eksklusif untuk pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa.

Menurut Radzuan, koleksi Ramadan menampilkan rekaan seperti kaftan dan loose yang sesuai untuk meraikan bulan suci.

"Koleksi Ramadan saya lebih fokus kepada pakaian yang ringan dan lembut, sangat sesuai untuk cuaca panas. Kami mahu menyediakan sesuatu yang elegan tetapi juga selesa seperti kaftan yang sangat digemari oleh pelanggan antarabangsa," jelas Radzuan.

Manakala untuk koleksi hari raya, beliau memperkenalkan rekaan tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya yang dipadankan dengan selendang.

Menariknya, Radzuan mencipta corak rekaan sendiri tanpa meniru atau membeli daripada pihak ketiga.

"Kami mencetak sendiri, dan itu yang membezakan kami. Dengan pencetak antarabangsa, kami menghasilkan rekaan yang benar-benar asli," tambahnya.

Bukan hanya untuk pasaran tempatan, Radzuan juga melebarkan sayap koleksi ini ke pasaran antarabangsa, terutamanya di negara-negara Timur Tengah seperti Dubai dan Abu Dhabi.

"Koleksi ini sangat sesuai dengan pasaran antarabangsa, terutamanya di Riyadh dan Abu Dhabi, di mana gaya long flowy dan resort sangat digemari," katanya.

Koleksi tersebut menawarkan harga yang bermula sekitar RM330 hingga RM1,000, menjadikannya lebih mampu milik, tetapi tetap mengutamakan kualiti yang tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram