
DALAM usaha bagi menghormati dan meneruskan legasi arwah ibu merupakan tokoh budayawan dan perintis wartawan wanita di Malaysia, Almarhum Azah Aziz, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, melancarkan edisi bahasa Inggeris buku Malay Textiles And Costumes: Form And Style.
Majlis pelancaran yang diadakan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur itu turut menyaksikan pelancaran buku Rupa Dan Gaya Edisi Ketiga.
Buku itu menjadi rujukan penting dalam pengkajian tekstil Melayu sejak pertama kali diterbitkan pada 2006.
Buku Rupa Dan Gaya: Busana Melayu menjadi rujukan dalam pengkajian tekstil Melayu.
Zeti Akhtar yang merupakan anak sulung kepada Azah Aziz atau nama sebenarnya, Sharifah Azah Mohammad Alsagoff dan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, menyampaikan ucapan penuh emosi pada majlis tersebut.
“Melalui buku ini, ibu telah menyemai semangat untuk memelihara warisan budaya Melayu dengan orang ramai.
"Penyelidikan beliau bukan sahaja mendalam, tetapi penuh kasih sayang terhadap tradisi kita,” kata Zeti.
Karya arwah ibunya (1928–2012) sudah lama menjadi sumber rujukan utama dalam memahami sejarah, nilai budaya serta keindahan seni tekstil Melayu.
Sejak 2014, Zeti bersama pasukan berusaha menterjemahkan buku itu ke dalam bahasa Inggeris supaya lebih ramai individu dapat menikmati hasil kerja Azah yang disifatkan sangat berharga.
“Buku ini bukan sekadar tentang tekstil dan pakaian Melayu. Ia juga menyentuh nilai-nilai budaya, adat resam dan sejarah yang membentuk tradisi kita.
"Ibu turut mengumpul petikan daripada manuskrip Melayu lama yang menceritakan tentang kostum dan tekstil,” tambah Zeti.
Zeti Akhtar melancarkan edisi bahasa Inggeris buku Malay Textiles And Costumes: Form And Style.
Salah satu cabaran besar dihadapi dalam proses terjemahan adalah dengan mencari padanan tepat untuk beberapa istilah Melayu seperti 'telepuk', yang akhirnya diterjemahkan sebagai gilded dalam bahasa Inggeris.
Buku tersebut juga dilengkapi glosari untuk membantu pembaca antarabangsa memahami istilah-istilah khusus dalam dunia tekstil Melayu.
Pelancaran buku berkenaan turut disertai pengumuman Merdeka Textile Museum, sebuah muzium tekstil yang akan dibuka di Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 2026.
Muzium tersebut akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia dan mempamerkan lebih 240 keping tekstil dan kostum termasuk 69 koleksi perhiasan milik Azah Aziz.
Merdeka Textile Museum akan mempamerkan 69 koleksi perhiasan milik arwah Azah Aziz.
Muzium itu bukan mempamerkan tekstil semata-mata, namun juga sebuah penghormatan kepada dedikasi Azah dalam memelihara warisan budaya Melayu.
“Merdeka Textile Museum adalah satu projek yang sangat bermakna. Ia bukan sekadar muzium biasa, tetapi simbol kasih sayang dan penghargaan kepada arwah Azah Aziz.
"Di sini, kita akan dapat melihat keindahan tekstil Melayu dengan teknologi terkini,” kata pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda yang menerajui projek muzium itu.
Dijadualkan dibuka pada awal 2026, muzium itu bakal menjadi pusat rujukan utama dalam memahami seni warisan Melayu.
Dengan pelancaran buku itu dan pembukaan muzium yang bakal datang, usaha untuk memelihara dan menghargai warisan budaya Melayu akan terus berjalan bagi memastikan legasi Azah Aziz terus hidup untuk generasi akan datang. — The Star/M. IRSYAD
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram