
SEIRING dengan kecanggihan teknologi, semakin ramai golongan muda memilih mencari jodoh melalui media sosial.
Jika diperhatikan, pelbagai cara dilakukan pengguna untuk mengiklankan diri dengan harapan dapat memancing hati bakal jodoh.
Melihat sambutan yang semakin menggalakkan, lebih ramai usahawan turut mengusahakan aplikasi khas mencari jodoh secara dalam talian.
(Dari kiri) Sofea, Haliza dan Nana. — Instagram selebriti
Dalam pada itu, fenomena jodoh maya ini turut mengundang pelbagai respons daripada pengguna.
Sebagai selebriti media sosial yang sering menjadi sorotan, berikut Majoriti tampilkan pandangan daripada beberapa pempengaruh berhubung isu tersebut.
Menurut Sofea Shra, tidak ada yang salah dengan menggunakan kuasa media sosial dalam mencari jodoh.
Malah, dia menganggap mereka yang mengambil langkah sedemikian sebagai individu bersifat berani kerana mengambil langkah proaktif dalam mencari pasangan hidup.
Katanya, kalaulah orang pada zaman dahulu diberi peluang untuk mengiklankan diri mereka di media sosial, mereka pasti akan melakukannya.
"Okey sahaja, tiada masalah jika niat individu tersebut betul. Tidak bolehlah kalau nak tunggu sahaja, kita sendiri kena berusaha," katanya
Senada dengan Sofea ialah pempengaruh, Riana yang merasakan jodoh online lebih praktikal terutamanya mereka yang mempunyai pergaulan terhad.
"Saya tak rasa itu (cari jodoh online) satu masalah sebab sekarang banyak kerja yang sudah mempraktikkan polisi bekerja dari rumah (WFH) yang secara tidak langsung kurang aktiviti social.
"Zaman sekarang, susah nak jumpa dan berinteraksi terus. Maka media sosial ialah platform yang sesuai dan lebih terbuka," jelasnya.
Pengguna mestilah mengiklankan diri dengan niat baik dan cara berhemah. — Gambar hiasan/Freepik
Namun begitu, berbeza pula dengan Haliza Hamzah yang beranggapan tidak perlu untuk seorang bujang sampai mengiklankan diri di media sosial kerana urusan jodoh sudah ditentukan ALLAH.
"Tidak ada yang salah atau betul untuk mengiklankan diri di media sosial, tetapi lebih baik tidak berbuat demikian kerana Allah sudah tentukan siapa jodoh kita," ujarnya.
Tambah Haliza, golongan muda perlu bersikap lebih tenang dan tidak menjadikan perkahwinan sebagai satu perkara yang mendesak.
"Saya percaya bahawa dalam perjalanan hidup, seseorang akan bertemu dengan jodoh mereka tanpa perlu terlalu terdesak atau mengiklankan diri mereka di media sosial," jelasnya.
Begitu pula dengan Nana yang berpendapat mengiklankan diri dianggap sebagai tindakan yang merendahkan maruah diri.
"Saya tidak setuju sebab apabila kita terlampau terdesak cari jodoh di media sosial, ia menampakkan nilai seseorang itu seolah-olah tidak laku," katanya.
Bagi Nana, mencari jodoh melalui interaksi secara langsung di acara perjumpaan adalah lebih baik berbanding platform media sosial.
Bagaimanapun, setiap manusia mempunyai cerita tersendiri bagaimana mereka bertemu pasangan hidup.
Apapun kaedah yang digunakan, ia mestilah dilakukan dengan niat baik dan cara berhemah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram