KES tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya pada Isnin gagal diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla manakala ibu mentuanya, Aminah Abdullah adalah defendan pertama hingga kelima.
Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah berkata, pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.
Puan Sri Kalsom (kiri) hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin bagi prosiding yang difailkan beliau terhadap empat anak dan ibu mentuanya. Turut hadir anaknya, Nur Anis (kanan). — Bernama
"Oleh itu, mahkamah memutuskan kes diteruskan dengan perbicaraan dan 9 Oktober ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh bicara," katanya kepada pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid pada Isnin.
Pada prosiding itu, Kalsom diwakili Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah.
Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.
Ikwan Hafiz (depan) diikuti ibunya, Puan Sri Kalsom dan Nur Anis di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin. — Bernama
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram