DNA jenama memenuhi selera pasaran Dubai, Rizman Ruzaini tekad letak nama Malaysia dalam peta fesyen dunia


Pasangan duo itu mahu menjadikan jenama mereka sebagai salah satu jenama yang boleh menginspirasi dunia fesyen.

SEBUT sahaja Rizman Ruzaini, pasti ramai yang kenal dengan jenama fesyen diasaskan oleh dua pereka fesyen terkemuka Malaysia, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil.

Sejak penubuhannya dua dekad lalu, jenama berkenaan telah melakar pelbagai kejayaan lantas memahat nama Rizman Ruzaini sebagai antara jenama terhebat di dalam lapangan industri fesyen masa kini.

Dikenali dengan rekaan glamor yang mewah serta eksklusif, sekali gus menjadikannya jenama pilihan utama dalam kalangan penggemar fesyen tempatan.

Melangkah ke peringkat antarabangsa, Rizman Ruzaini kini berfokus untuk mengembangkan jenama mereka ke pasaran global, dengan Dubai menjadi salah satu destinasi utama.

BACA LAGI: Kerabat diraja berjiwa rakyat, ini antara 5 momen menarik Permaisuri Agong

BACA LAGI: Mahu buat aktiviti larian tapi takut serangan asma, ketahui tip bantu elak risiko kesihatan

IMG_7315

Rizman (empat dari kanan) dan Ruzaini pada acara previu eksklusif koleksi raya 2025 bersama media. — Rizman Ruzaini

Dalam temubual eksklusif bersama Majoriti, pasangan duo itu berkongsi perancangan untuk membuka butik mereka di Dubai pada suku kedua tahun ini.

Menurut Rizman, Dubai adalah pasaran yang sangat menjanjikan, dan mereka melihat peluang besar dalam memasarkan koleksi mereka kepada masyarakat di sana.

"Kami melihat peluang untuk memperkenalkan jenama ini lebih dekat kepada masyarakat di sana," katanya.

Tambahnya, perbezaan utama dalam 'selera' fesyen di Malaysia dan Dubai melibatkan aspek rekaan dan harga.

“Di Malaysia, untuk mencapai harga yang setara dengan pasaran Dubai agak mencabar kerana perbezaan kemampuan belian di antara kedua-dua negara.

"Masyarakat Dubai lebih menggemari reka bentuk yang mewah dan berkilau, sementara di Malaysia, pelanggan lebih cenderung kepada gaya yang lebih minimalis," jelasnya.

Cabaran memasuki pasaran Dubai

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapi ketika memasuki pasaran Dubai, Rizman menegaskan bahawa cabaran terbesar adalah untuk menempa nama.

“Membina reputasi jenama di negara asing bukan mudah, tetapi dengan pengalaman lebih 20 tahun, kami sudah mampu merancang strategi yang tepat,” ujarnya.

Screenshot 2025-02-12 232709

Naomi Campbell ketika memperagakan busana Rizman Ruzaini di Dubai Fashion Week, Oktober 2023. — Rizman Ruzaini

Salah satu strategi utama yang digunakan oleh Rizman adalah kerjasama dengan supermodel terkenal kelahiran United Kingdom, Naomi Campbell, untuk memperkenalkan jenama mereka di Dubai.

Langkah itu terbukti berjaya kerana ia mempercepatkan pengenalan jenama Rizman Ruzaini dalam kalangan masyarakat Dubai.

“Dengan menggunakan Naomi Campbell, orang di Dubai lebih cepat mengenali jenama kami, dan sekarang kami sudah mula meraihperhatian daripada pelanggan di Dubai, Kuwait, Riyadh dan Bahrain,” katanya.

Persaingan di Dubai

Selain itu, Rizman juga berkongsi bahawa persaingan di Dubai bukanlah sesuatu yang menakutkan, tetapi lebih kepada persaingan yang sihat.

"Sama juga macam di Malaysia. Persaingan sangat sihat. Masa kami mula-mula melangkah kaki ke Dubai, pereka fesyen dari Filipina, Michael Cinco yang dianggap antara pesaing kami, datang berkongsi nasihat dengan kami malah sedia membantu jika kami memerlukan," ujarnya.

Selain itu, visi Rizman Ruzaini adalah untuk menjadikan jenama ini sebagai salah satu jenama yang boleh menginspirasi dunia fesyen.

Dengan pelancaran koleksi yang mengikuti kalendar fesyen antarabangsa seperti musim bunga/panas dan luruh/sejuk, Rizman berharap untuk terus meletakkan Malaysia di peta fesyen dunia.

"Visi kami adalah untuk menjadi jenama yang memberi inspirasi kepada orang lain dan meletakkan Malaysia dalam peta fesyen. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab kami untuk mengikut kalendar fesyen dunia supaya jenama Rizman Ruzaini dapat terus bersaing di dalam liga yang sama," ujar Rizman.

Tips untuk pereka fesyen menempa nama di peringkat global

Bagi pereka fesyen yang berimpian menembusi pasaran antarabangsa, langkah pertama yang sangat penting adalah memiliki matlamat yang jelas.

Menurut Rizman, kejayaan dalam industri fesyen global bukan hanya tentang membina jenama, tetapi juga tentang bagaimana jenama itu dapat diterjemahkan menjadi peluang perniagaan yang nyata.

"Kami sangat jelas tentang matlamat untuk pergi ke peringkat antarabangsa, ia semua tentang perniagaan. Bukan sekadar mencipta branding," jelasnya.

Selain itu, pemilihan pasaran yang tepat juga menjadi faktor utama kejayaan. Mereka memilih Dubai kerana mereka melihatnya sebagai pasaran yang belum diteroka secara aktif oleh banyak jenama fesyen besar.

"Kenapa kami pilih Dubai? Kerana kami tahu Dubai adalah pasaran yang belum aktif diteroka. Jika kita kira dengan jari, hanya beberapa pereka fesyen yang benar-benar ada di Dubai," ujar Rizman.

Beliau menambah, Dubai adalah destinasi yang tepat buat Rizman Ruzaini kerana reka bentuk dan DNA jenama mereka sangat sesuai dengan citarasa pasaran di sana.

"Dubai amat sesuai dengan kami. Malah, DNA kami juga memang sangat serasi dengan selera pasaran mereka," jelasnya.

story translate (9)

Antara koleksi Rizman Ruzaini Couture Raya 2025. — Rizman Ruzaini

Dalam pada itu, Ruzaini berkongsi mengenai koleksi raya 2025 yang menampilkan tiga edisi rekaan.

Katanya, koleksi pertama mengambil inspirasi daripada perjalanan dua dekad jenama tersebut, mempersembahkan 20 rekaan ikonik daripada kapsul koleksi terdahulu.

Koleksi kedua, Rizman Ruzaini Red, dilihat lebih kepada gaya yang lebih sederhana dan mudah diakses, terutamanya untuk masyarakat Malaysia.

Rizman juga menekankan penggunaan material yang lebih ringan sesuai dengan budaya tempatan.

"Sementara itu, koleksi Rizman Ruzaini Couture Raya 2025 pula mengambil inspirasi daripada 'mustika'. Kami terinspirasi oleh lakonan Vanidah Imran dalam filem Perempuan Melayu Terakhir, yang menggambarkan keanggunan dan keindahan potongan feminin," ujar Ruzaini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram