
UMUM mengetahui mengenai bertangas amalan turun-temurun golongan wanita masyarakat Melayu mementingkan penjagaan kesihatan dalaman terutamanya selepas bersalin.
Tangas adalah kaedah rawatan tradisional menggunakan wap herba untuk membersihkan bahagian intim wanita.
Ia membantu meningkatkan peredaran darah, menghilangkan bau kurang menyenangkan dan menggalakkan pemulihan selepas bersalin.
Bagaimanapun, seiring modenisasi tradisi itu juga mengalami revolusi menjadikannya lebih praktikal, sekali gus mudah dilakukan walau di rumah sendiri.
Pempengaruh popular, Tyra Kamaruzzaman, baru-baru ini berkongsi pengalaman beliau menggunakan teknik tangas moden yang membantunya semasa hamil dan tempoh berpantang.
"Sekarang ini, saya sedang berpantang dan ingin menunjukkan kepada anda produk yang sangat berguna ketika saya mengandung.
"Kini saya berpantang pun ia sangat berguna kerana bukan sahaja sesuai untuk orang mengandung ataupun berpantang.
"Saya rasa produk ini sangat bagus untuk semua wanita di luar sana yang ada masalah di bahagian bawah (intim wanita)," kata Tyra dalam video yang dimuat naik di Instagramnya.
Tyra bergelar isteri kepada pereka fesyen, Emran Rijal dengan sekali lafaz pada tahun lalu. — Gambar/@tyrakmrzmn
Pemilik nama sebenar Athirah Kamaruzzaman itu berkata, penggunaan tangas moden sangat mudah dan praktikal.
"Prosesnya bermula dengan meletakkan besen khas di atas mangkuk tandas. Kemudian, campuran herba dan Himalaya Bath Salt dimasukkan ke dalam besen sebelum menambahkan air mendidih dan sedikit air suhu bilik bagi mendapatkan suhu sesuai.
"Selepas itu, pengguna hanya perlu duduk di atas besen selama 10 hingga 15 minit bagi membiarkan wap meresap ke dalam badan.
"Setelah selesai, air dalam besen boleh dibuang dengan mudah hanya dengan menekan butang khas dan air terus masuk ke dalam tandas," katanya yang mempunyai 536,000 followers di Instagram.
Untuk rekod, tangas tradisional kaedah penggunaannya melibatkan periuk tanah, batu panas dan tikar pandan. Bahan-bahan digunakan pula herba seperti daun sirih, kunyit, halia dan serai wangi.
Menurut kajian oleh Institut Kesihatan Wanita Malaysia, perbezaan utama antara tangas moden dan tangas tradisional terletak pada cara penyediaannya.
Tangas tradisional memerlukan masa yang lama kerana perlu memanaskan batu dan menyediakan herba secara manual.
Sebaliknya, tangas moden lebih mudah digunakan kerana hanya perlu menambah air panas ke dalam besen yang direka khas untuk kemudahan pengguna.
Tangas tradisional juga memerlukan ruang khas untuk proses bertangas manakala tangas moden boleh dilakukan di dalam tandas dengan lebih selesa dan tanpa gangguan.
Dari segi masa, tangas tradisional mengambil lebih lama kerana memerlukan pemanasan secara manual, sementelah tangas moden memerlukan sekitar 10 hingga 15 minit untuk disiapkan.
Tangas moden mempunyai pelbagai kebaikan antaranya mempercepatkan pemulihan selepas bersalin bagi membantu menghilangkan angin dan melancarkan peredaran darah.
Ia juga mengurangkan bau kurang menyenangkan dan membantu membersihkan bahagian intim secara semula jadi.
Selain itu, turut membantu mengatasi masalah keputihan dengan mengawal keseimbangan bakteria pada kawasan sensitif.
Wap herba yang digunakan dalam proses tangas juga memberikan kesan relaksasi yang baik untuk tubuh dan membantu menghilangkan tekanan.
Tambahan pula, tangas moden sesuai untuk semua wanita bukan sahaja sedang berpantang, bahkan mereka yang ingin menjaga kesihatan dalaman.
Dengan inovasi seperti besen tangas moden dan herba pracampuran, wanita kini boleh terus mengamalkan penjagaan dalaman dengan cepat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram