
MEMBUKA lembaran baharu di tempat asing bukanlah sesuatu yang mudah, namun bagi pempengaruh, Nadia Halim Dziobkowska, ia merupakan pengalaman penuh warna-warni.
Berbekalkan latar belakang dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada Universiti Malaya, Nadia bersama suami, Mike dan anak perempuan mereka memulakan kehidupan baharu di Mumbai, India sejak Julai 2024.
"Pada awalnya, kami berpindah ke sini kerana urusan visa Mike. Tapi kami fikir, kenapa tidak cuba perubahan suasana sekali?," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Sakit hati dimalukan depan keluarga, suami tergamak tanam isteri warga Aceh hidup-hidup
Nadia bersama Mike berhijrah ke Mumbai sejak Julai tahun lalu.
Nadia berkata, hidup di bandar yang tidak pernah tidur itu memberikan pelbagai cabaran dan kejutan buat Nadia.
"Mumbai memang hidup 24 jam, tapi kadangkala saya rindu ketenangan di Malaysia," luahnya.
Antara cabaran terbesar dihadapi pencemaran udara dan bunyi bising akibat kerja pembinaan yang dikatakan tidak pernah berhenti.
"Saya pernah terkena jangkitan mata selama dua minggu dan sakit tekak (selama empat bulan pertama) berada di sini," katanya.
Namun, di sebalik cabaran itu, guru tadika di India tersebut menyifatkan terbit bermacam-macam kemanisan dalam kehidupannya.
Salah satu perkara terbaik bagi Nadia adalah kehadiran pembantu rumah yang setia bernama Harshata.
"Dia ibarat penyelamat. Jujur, cekap, dan sangat boleh diharapkan. Saya bersyukur dia 'hadir' dalam hidup kami," tuturnya.
Nadia sentiasa aktif melakukan pelbagai aktiviti di Mumbai dan berkongsi bersama followers menerusi Instagram @nadiahalim.dziobkowska.
Di sebalik kesibukan kerja, Nadia dan keluarga akan memastikan sesi hujung minggu tidak disia-siakan begitu sahaja.
"Lazimnya, Sabtu kami bermain pickleball, memasak atau bersantai bersama kawan-kawan.
"Bagaimanapun, Ahad pula adalah hari istimewa kerana akan bersenam di gimnasium, kemudian ke Journal Bombay untuk menikmati kopi dan makan tengah hari. Staf di sana pun sudah kenal kami," ujarnya.
Menariknya, mereka menjadi ahli gimnasium milik keluarga pelakon Bollywood terkenal, Tiger Shroff.
"Dia (Tiger Shroff) sangat humble, mesra dengan senyuman dan sentiasa menyapa. Tak sangka juga dapat berjumpa selebriti setiap hari," katanya yang gemar berkongsi aktiviti menarik bersama followers menerusi Instagram @nadiahalim.dziobkowska.
Bagi Nadia, Mumbai adalah bandar yang selamat untuk perjalanan solo tetapi tetap ada cabaran kecil.
"Orang di sini baik, kalau menjual barang peniaga takkan mengalah untuk mendapatkan pelanggan. Pernah sekali, penjual ikut saya hampir 10 minit," katanya.
Sebagai pencinta makanan, Nadia tidak melepaskan peluang mencuba hidangan tempatan masyarakat India.
"Saya baru tahu, rupanya ada banyak jenis puri. Kegemaran saya pani puri, tapi sev puri dan masala puri pun sedap," katanya yang turut mengesyorkan vada pav, bombay sandwic dan keema pav kepada pengunjung yang ingin mencuba makanan khas Mumbai.
Nadia gembira miliki pengalaman baharu bersama suami tercinta, Mike di India.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan para pelancong berhati-hati apabila memilih minuman ketika berada di India.
"Jangan minum air paip. Sentiasa beli air mineral. Kita orang luar, sistem imun tak sama macam penduduk tempatan," saran beliau.
Bagi Nadia, tahap kebersihan di India ada sisi baik dan buruknya.
"Perkara anda lihat di media sosial atau berita boleh menjadi gabungan kebenaran dan sesuatu sengaja dilebih-lebihkan.
"Jadi, cara terbaik untuk memahami India adalah dengan melaluinya sendiri," katanya.
Bagi Nadia dan keluarga, India masih mempunyai banyak lokasi untuk diterokai sebelum mereka kembali ke tanah air.
Mereka turut menyimpan impian melancong ke Nepal, Sri Lanka dan Maldives.
Pun demikian, Nadia menzahirkan bahawa Malaysia tetap menjadi 'rumahnya'.
"Malaysia. Saya berharap pulang ke Malaysia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram