![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/03/3148607.jpg)
NASIB malang menimpa seorang wanita yang ditanam dalam keadaan hidup-hidup oleh suaminya sendiri dalam tong dram yang dicor dalam kejadian di sebuah ladang kopi di Desa Uning Teritit, Kecamatan Bukit, Kabupaten Bener Meriah, Aceh, Indonesia pada Khamis minggu lepas.
Penemuan mayat mangsa, Ayuni Sarah bermula apabila seorang penduduk, Hasbullah, 51 tahun, yang memiliki kebun bersebelahan dengan lokasi kejadian terdengar jeritan meminta belas kasihan pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) Rabu.
'Ampun-ampun', itulah teriakan terakhir yang diucapkan oleh wanita warga Aceh itu.
Namun, Hasbullah yang curiga dengan bunyi tersebut tidak mengendahkannya dan bertindak pulang ke rumah.
BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km
Bagaimanapun, keesokan paginya, Hasbullah menghubungi seorang lagi penduduk, Irwandi untuk memeriksa kawasan tersebut dan menemukan tanah yang kelihatan baru sahaja ditimbun.
Mereka berdua bertindak menghubungi pihak polis untuk menggali kawasan mencurigakan itu.
Polis yang menggali kawasan tersebut menemukan mayat Ayuni dalam tong dram yang telah dicor dengan simen.
Ketua Polis Daerah Bener Meriah, Superintenden Tuschad Cipta Herdani mengesahkan bahawa mayat mangsa telah dipindahkan ke Hospital Muyang Kute, Aceh untuk siasatan lanjut.
Dalam tempoh kurang 24 jam, polis berjaya menahan suspek utama, Edi Andani sewaktu berada di sebuah taman yang terletak Kampung Teleden Beranun, Daerah Bandar, Bener Meriah.
Ketua Unit Siasatan Jenayah, Jeffryandi mendedahkan bahawa Edi cuba memberikan tentangan ketika ditangkap, namun polis berjaya mengawalnya.
Suspek kini dalam tahanan untuk prosiding undang-undang selanjutnya.
Dalam sidang media yang diadakan pada Jumaat, pihak polis mendedahkan bahawa motif pembunuhan berpunca daripada perasaan sakit hati disebabkan pertengkaran mulut bersama mangsa di rumah ibu bapa suspek di Desa Uning Teritit.
Selang sehari daripada pertengkaran itu iaitu pada Rabu, Edi mula merancang pembunuhan dengan menggali lubang di kebun kopi miliknya.
Suspek mengajak isterinya itu ke kebun dengan alasan untuk membersihkan kawasan tersebut.
Ketika mangsa sedang mencangkung, suspek mengambil sekeping papan dan memukul kepalanya dari belakang sehingga terjatuh.
Dia kemudian memukul belakang kepala mangsa sekali lagi hingga tidak sedarkan diri.
Setelah memastikan tubuh mangsa tidak bergerak, suspek mengambil gelang emas dan wang tunai sebanyak RM831 (Rp3,000,000) dari poket mangsa sebelum menanamnya dalam lubang yang telah disiapkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram