Gen Z kurang minat pada seni tradisi, Nini Ramlan ingin didik golongan muda mengenai budaya sendiri


Marini Ramlan menganggap seni seperti tekstil tradisional memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekayaan budaya bangsa.

SENI warisan tradisi sering dianggap sebagai nadi kepada identiti budaya sesebuah negara.

Di Malaysia, seni seperti tekstil tradisional memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekayaan budaya bangsa.

Namun, apakah generasi muda terutama Gen Z masih mempunyai minat terhadap seni warisan ini?

BACA LAGI: [VIDEO] Buku teks Sejarah dijadikan komik, Azrin Ahmad bijak tarik minat pelajar dapat 'result' cemerlang

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

6080088449228062807

Marini menyedari betapa pentingnya melestarikan seni warisan.

Bercakap soal itu, Ketua Bahagian Seni dan Ruang Awam di Yayasan Hasanah, Marini Ramlan berkongsi pandangannya dalam memastikan seni warisan terus dihargai generasi muda.

Marini berkata, beliau menganggap cabaran terbesar dalam memperkenalkan seni warisan kepada generasi muda adalah mengenai cara untuk menjadikannya kekal relevan.

"Generasi muda kini lebih cenderung kepada budaya asing seperti Jepun dan Korea kerana ia dilihat lebih ‘gempak’ dan mudah diterima.

"Tetapi kita perlu mencari cara untuk menjadikan seni warisan kita juga dianggap menarik dan relevan kepada mereka,” kata Marini kepada Majoriti.

Sebagai seorang artis multidisiplin yang telah lama bergiat dalam dunia seni dan menjadi penggerak utama dalam usaha memelihara seni warisan, Marini menyedari betapa pentingnya melestarikan warisan itu.

Beliau menekankan bahawa tekstil tradisional bukan sahaja menggambarkan teknik yang tinggi tetapi juga motif yang memiliki cerita tersendiri, menjadi cerminan budaya yang kaya dan unik.

"Motif dan teknik yang diwarisi ini membezakan kita daripada negara lain.

"Namun, dengan semakin berkurangnya penguasaan dalam seni ini, warisan kita berisiko hilang," jelas isteri kepada penyanyi rap, Joe Flizzow itu.

Sebagai pewaris kepada legasi ibunya dalam bidang pendidikan dan seni, Marini menganggap dirinya bertanggungjawab untuk memastikan seni warisan itu diteruskan.

Di bawah Yayasan Hasanah, beliau berusaha mendokumentasikan dan mempromosikan seni warisan melalui pelbagai inisiatif.

Yayasan itu juga memberi sokongan dalam bentuk latihan kemahiran kepada para artisan untuk mengembangkan potensi mereka dan memperkukuh ekosistem seni warisan.

Namun, Marini mengakui bahawa pendekatan konvensional mungkin tidak lagi menarik minat generasi muda.

"Jika kita hanya memaparkan tarian tradisional atau seni warisan secara biasa, mereka mungkin akan bosan.

"Tetapi jika kita bercerita tentang sejarah yang menarik seperti zaman Majapahit dan kaitannya dengan seni warisan kita, ia boleh membuka minda mereka,” kata Marini, sambil menyarankan penggunaan teknologi seperti realiti imbuhan (augmented reality) untuk menjadikan pengalaman seni lebih interaktif.

Cover shoot for Life Inspired August 2024 issue with artist Nini Marini. —YAP CHEE H0NG/The Star

Marini mahu memartabatkan seni warisan Malaysia.

Dengan pendekatan yang lebih kreatif, Marini percaya Gen Z masih boleh tertarik kepada seni warisan.

“Generasi muda suka kepada cerita terutama yang mempunyai nilai sejarah yang mendalam.

"Kita perlu bercerita tentang budaya kita dalam cara yang mereka boleh terima dan fahami,” tambahnya.

Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, Marini optimis bahawa usaha-usaha itu akan membuahkan hasil.

"Seni warisan adalah sebahagian daripada identiti kita sebagai sebuah negara.

"Tanpa budaya, kita kehilangan jati diri. Jika kita berjaya menunjukkan kepada mereka bahawa seni ini penting untuk masa depan, saya yakin mereka akan menghargainya," katanya.

Dengan sokongan daripada Yayasan Hasanah dan pihak-pihak yang terlibat, Marini berharap generasi akan datang akan terus menghargai seni warisan Malaysia.

Beliau berharap agar seni itu dapat dipelihara dan dijadikan warisan yang hidup agar dapat kekal relevan dalam dunia moden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram