Wanita lebih mudah alami migrain? Berikut penjelasan pakar perunding neurologi, punca kekal misteri


  • Sihat
  • Khamis, 23 Jan 2025

Sakit kepala berulang jika tidak dirawat berisiko menjadi lebih kritikal seiring pertambahan usia. — Gambar hiasan

TAHUKAH anda, migrain merupakan salah satu penyakit saraf paling biasa di seluruh dunia dengan kelaziman global dianggarkan 1.1 bilion kes pada 2019?

Tetapi ironinya, sehingga kini punca sebenar migrain masih tidak diketahui. Kesakitan tidak memendekkan hayat itu bagaimanapun boleh menjejaskan kualiti hidup.

Jika anda sering mengalami sakit kepala berulang, muntah, meremang dan tidak mampu mengawal diri, anda mungkin sedang berdepan dengan serangan migrain teruk.

Tidak hanya itu, migrain boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi lebih sensitif terhadap cahaya (fotofobia) dan bunyi kuat (fonofobia).

BACA LAGI: Empat hari hilang lepas keluar rumah bersendirian, warga emas dari Johor Bahru ditemukan lemas di Pulau Pangkor

BACA LAGI: Berkat dorongan ibu bapa, anak sindrom Down tonjol potensi luar biasa bercucuk tanam, kraf dan main piano

2686088

Dr. Julia

Lazimnya, migrain memberikan tanda sakit kepala berdenyut dan berulang-ulang pada sebelah atau kedua-dua bahagian kepala.

Menurut perkongsian portal kesihatan myHEALTH, hampir satu daripada empat wanita mengalami migrain sekali sepanjang hayat mereka. Sakit kepala berulang itu boleh tercetus sejak usia kanak-kanak atau remaja dan jika tidak dirawat berisiko menjadi lebih kritikal seiring pertama bahan usia.

Pada masa sama, individu menjengah usia 50 tahun kurang berdepan dengan kesakitan itu, namun ada yang terus mengalami migrain.

Pakar Perunding Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Dr. Julia Shahnaz Merican memberitahu, kesakitan dialami itu sering dipandang remeh dan dianggap sebagai sakit kepala biasa.

Sejarah keluarga

Migrain mengakibatkan kesakitan luar biasa sehingga mengganggu rutin harian seseorang.

“Mereka akan menjadi hipersensitif terhadap persekitaran, menjejaskan produktiviti kerja dan kualiti hidup,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Majoriti.

Katanya, sakit kepala itu biasanya bertambah teruk dengan pergerakan, sekali gus mereka yang terjejas mengelak untuk melakukan aktiviti fizikal.

Migrain boleh berlaku sebagai sakit kepala berdenyut yang sederhana sehingga teruk berlangsung sekurang-kurangnya empat hingga 72 jam.

“Berbeza dengan kepercayaan umum, kesakitan yang dirasai bukan hanya pada bahagian tengah kepala, tetapi belakang kepala, leher atau sekitar mata,” ujarnya.

Jelasnya lagi, salah satu faktor risiko paling besar untuk migrain adalah sejarah keluarga.

Wanita lebih mudah terdedah kepada risiko migrain berbanding lelaki. Tambahnya, nisbah usia normal untuk migrain bermula remaja hingga 50-an. Remaja, terutamanya selepas akil baligh, mungkin mengalami sakit kepala yang lebih teruk termasuk migrain haid.

"Dalam sesetengah kes, kanak-kanak seawal usia lima tahun ke atas boleh mengalami sakit perut berulang atau migrain perut.

“Punca kepada permasalahan itu bagaimanapun tidak diketahui,” jelasnya lanjut.

Sehubungan itu, bagi diagnosis lebih tepat, individu yang mengalami migrain perlu memiliki pengetahuan dan pemahaman tentang kesakitan dialami.

Beliau berpendapat, selain pengambilan ubat, peranan mereka dalam menguruskan kesihatan dan gaya hidup boleh memberi kesan paling ketara kepada kesejahteraan dan kebebasan.

Antara kaedah disarankan adalah dengan merakam atau menjejaki migrain menggunakan diari sakit kepala.

migrain

Antara simptom dialami individu yang diserang migrain sehingga menjejaskan rutin harian.

Pencetus

Melalui penggunaan diari, ia membantu memberi kefahaman tentang corak dan kekerapan hari sakit kepala yang berlaku setiap bulan.

Diari dimaksudkan itu boleh menggunakan jurnal fizikal, kalendar bulanan atau aplikasi telefon pintar yang berkaitan. Kaedah ini membantu pengecaman pencetus yang tidak disedari sebelum ini.

Setiap individu akan sedar pencetus yang berbeza, biasanya dikenali sebagai perubahan rutin, tidur tidak mencukupi, cuaca panas, perjalanan, haid dan tekanan.

"Bilangan hari migrain bulanan yang direkodkan adalah paling penting kepada penghidap migrain dan doktor untuk strategi rawatan sesuai.

“Selain itu, individu juga boleh menggunakan pemeriksaan mudah seperti ID Migrain merangkumi tiga soalan untuk membantu pemantauan kendiri,” jelasnya.

Akuinya, penggunaan kaedah itu hampir 80 peratus tepat untuk mengenal pasti migrain dialami seseorang.

Tambah beliau, walaupun migrain antara sakit kepala yang paling biasa, namun pesakit perlu mendapatkan bantuan daripada doktor.

Ujar Dr. Julia, peranan ahli neurologi atau pakar saraf boleh memberikan diagnosis tepat terhadap punca sakit kepala, sejarah, tanda dan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh.

ILLUSTRATION - Ibuprofen has advantages over other painkillers - but not for everyone. Photo: Andrea Warnecke/dpa

Migrain digambarkan berdenyut pada sebelah kepala sahaja. — Gambar hiasan

Dua kategori migrain

Migrain terbahagi kepada dua kategori iaitu migrain tanpa aura dan migrain dengan aura.

Pesakit yang mengalami migrain tanpa aura kebiasaannya mendapat sakit kepala tanpa tanda amaran (aura) dan mereka akan merasai kesakitan lima kali lebih kerap.

Selain itu, migrain terjadi pada sebelah kepala sahaja dan biasanya digambarkan sebagai berdenyut.

Dari aspek tahap kesakitan pula, ia boleh berada pada tahap sederhana atau serius sehingga menyebabkan pesakit terlibat tidak mampu meneruskan kerja atau aktiviti.

Sementara itu, bagi pesakit migrain dengan aura, sakit kepala didahului dengan tanda dan berlaku antara satu minit hingga 15 minit.

Sebahagian daripada penglihatan juga hilang secara sementara dengan kelipan cahaya seperti garisan zig-zag merebak sebelum hilang sepenuhnya.

Tidak hanya itu, mereka juga mungkin mengalami kebas pada anggota badan seperti bibir, muka dan tangan yang seterusnya membawa kepada masalah pertuturan.

Female patient undergoing CT scan in hospital

Prosedur MRI diperlukan untuk kes sakit kepala berubah sifat atau menjadi lebih kerap. — Gambar hiasan

Rawatan

Pakar neurologi dapat menyediakan maklumat dan sumber berkaitan dengan pelbagai jenis migrain.

"Siasatan seperti tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI), imbasan otak dan ujian darah hanya perlu jika punca sekunder serius disyaki.

“Penggunaan mesin itu diperlukan untuk kes sakit kepala berubah sifat atau menjadi lebih kerap, terutamanya kanak-kanak atau yang berumur lebih 50 tahun,” katanya.

Beliau memberitahu, rawatan bagi mengatasi masalah kesakitan kepala berulangan itu semakin inovatif sejajar dengan landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang.

Penyelidik mendedahkan, apabila berlakunya migrain, otak dibanjiri bahan kimia yang dikeluarkan oleh saraf dan saluran darah termasuk antibodi peptida berkaitan gen kalsitonin (CGRP).

Sehubungan itu, rawatan CGRP disasarkan untuk mengurangkan kekerapan dan intensiti serangan migrain dengan ketara secara komprehensif.

Rawatan baharu itu juga tersedia dalam bentuk ubat-ubatan untuk membantu melegakan daripada cengkaman migrain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram