[VIDEO] Prebet sapu warga asing licik bawa 'rakan sekampung', JPJ digesa kerap buat operasi sekitar Lembah Klang


  • Massa
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Menurut Izam, kenderaan ini digunakan oleh warga asing sekitar Terminal Bas Kota Raya bagi menjalankan kegiatan prebet sapu.

ISU prebet sapu yang semakin berleluasa di kawasan bandar terus menjadi mimpi ngeri bagi pemandu teksi.

Ini kerana dakwa mereka, aktiviti ini telah lama menjejaskan mata pencarian mereka selain mengundang risiko kepada keselamatan penumpang.

Secara umumnya, prebet sapu merujuk kepada pemandu yang menggunakan kenderaan persendirian untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram.

Aktiviti tersebut dikatakan semakin licik apabila mula dipromosikan menerusi aplikasi e-hailing atau media sosial seperti TikTok dan WhatsApp untuk menarik pelanggan.

Menurut Penolong Setiausaha Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Izam Shaharuddin, masalah tersebut telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian yang konkrit.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Screenshot 2024-11-22 205354

Izam berkata, kebanyakan pemandu yang melakukan aktiviti itu melibatkan warganegara asing.

"Penumpang kami semakin berkurang. Dahulu kami boleh dapat lima hingga enam penumpang sehari, sekarang nak dapat dua penumpang pun susah.

"Kebanyakan pelanggan sekarang lebih memilih e-hailing atau prebet sapu kerana tambangnya lebih murah," katanya kepada Majoriti.

Dia yang sudah berkhidmat sebagai pemandu teksi sejak 15 tahun lalu turut menyuarakan kebimbangannya terhadap kehadiran prebet sapu yang beroperasi secara terang-terangan di kawasan strategik sekitar Lembah Klang seperti Kota Raya, Bukit Bintang, Sunway Pyramid, dan Selayang.

Katanya, mereka seolah-olah mempunyai lokasi tetap untuk mengambil penumpang dan bertindak seperti 'pemilik' tanah di kawasan terlibat.

Mengulas mengenai kenderaan yang digunakan, kebiasaannya mereka menggunakan kenderaan biasa. Pun begitu, ada juga dalam kalangan mereka menggunakan kenderaan menyerupai teksi berikutan segelintir prebet sapu pernah berkhidmat sebagai pemandu teksi.

Screenshot 2024-11-22 210448

Izam mendedahkan, segelintir prebet sapu pernah berkhidmat sebagai pemandu teksi.

Dalam konteks modus operandi prebet sapu, dia berkata, sesetengahnya beroperasi seperti teksi konvensional tetapi tanpa meter atau tanda rasmi, manakala ada yang menggunakan platform seperti TikTok, Facebook, WhatsApp serta Telegram untuk mencari pelanggan.

"Ejen pelancongan pun ada yang bekerjasama dengan mereka. Dulu tugas ejen pelancongan diberikan kepada teksi atau van yang sah, tetapi sekarang lebih banyak diberikan kepada prebet sapu, termasuk warga asing," katanya.

Tambahnya, kebanyakan pemandu yang melakukan aktiviti itu melibatkan warganegara asing dan hanya sedikit warga tempatan yang terlibat.

Warga asing yang menjalankan prebet sapu kebiasaannya dikatakan menyasarkan penumpang dari negara asal mereka untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sebagai contoh, warga Arab mengambil penumpang dari kalangan komuniti Arab, manakala warga Bangladesh dan Myanmar melakukan perkara yang sama dalam komuniti mereka.

Sekiranya ditahan, mereka akan mendakwa penumpang yang dibawa itu adalah rakan mereka sendiri.

Menurut Izzam lagi, salah satu faktor utama prebet sapu mendapat sambutan adalah tambang yang jauh lebih murah berbanding teksi.

"Kalau teksi ikut meter, tambang boleh jadi RM10. Tapi prebet sapu hanya caj RM5 untuk perjalanan yang sama. Sebab mereka tiada kos seperti lesen atau insuran khas," jelasnya.

Sementara itu, pemandu teksi yang hanya ingin dikenali sebagai Dominic berkata, prebet sapu mengenakan caj yang tidak menentu.

"Ada pelanggan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Setia Alam pernah dicaj RM300, jauh lebih mahal daripada kadar teksi berlesen," katanya.

Berkongsi pengalamannya, dia pernah menerima permintaan daripada pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan teksi tetapi mengikut harga e'hailing.

“Saya pernah didatangi pelanggan yang bertanya jika saya boleh menawarkan harga lebih murah daripada kadar e-hailing. Tapi kami ikut undang-undang, gunakan meter, dan beri resit yang sah.

"Prebet sapu tidak perlu memikirkan kos seperti insurans komersial, jadi mereka mampu menawarkan harga rendah,” ujarnya.

Selain itu, prebet sapu juga tidak terikat dengan syarat pemakaian atau tingkah laku profesional yang diwajibkan kepada pemandu teksi. Hal itu jelas menambah cabaran kepada pemandu teksi yang komited mematuhi peraturan.

Di manakah tindakan?

Bercakap soal tindakan daripada pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Izam berkata, banyak laporan telah dibuat tetapi kebanyakan aduan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Setiap hari saya buat laporan, baik melalui e-mel, WhatsApp, atau surat rasmi. Tetapi tiada tindakan diambil. Hanya di beberapa kawasan sahaja diberi perhatian untuk menangani isu ini.

"Baru-baru ini, selepas beberapa video viral di TikTok, barulah ada perubahan," katanya.

Dia menegaskan bahawa operasi berterusan diperlukan bagi memastikan prebet sapu tidak berani terus menjalankan aktiviti mereka.

"Kalau operasi hanya dijalankan sekali, mereka (pemandu prebet sapu) tahu bila nak elak. Saya cadangkan satu pasukan khas kecil ditubuh, hanya tiga orang pun cukup untuk membuat operasi harian," tambahnya.

Dia berharap agar pihak berkuasa berkaitan, memperhebatkan usaha membanteras aktiviti tersebut dengan lebih serius.

"Kalau operasi ini berterusan, saya yakin masalah ini boleh diselesaikan. Tapi kena buat hari-hari, bukan seminggu sekali. Kami hanya mahu keadilan untuk pemandu teksi yang semakin terhimpit," katanya.

Dia juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemandu teksi dan pihak berkuasa, dengan menyediakan maklumat lokasi panas dan modus operandi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram