![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/20/3123479.jpeg)
DALAM Belanjawan tahun ini, kerajaan memberi elaun RM150 sebulan kepada lebih 110,000 murid orang kelainan upaya (OKU) termasuk autistik. Jumlah itu menjadikan mereka menerima sebanyak RM1,800 setahun.
Pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (ORKIDS) di Petaling Jaya, Selangor, Sri Rahayu Samsudin berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan kerajaan kerana terdapat segelintir ibu bapa tidak mampu membayar yuran meskipun harga pada kadar minimum.
“Kita ada kadar yuran minimum tapi ramai yang tak mampu hantar anak ke sini kerana kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Jadi, dengan bantuan kerajaan ini, ramai anak-anak istimewa boleh dapat pelajaran sewajarnya dan kami boleh mengajar mereka untuk berdikari kelak,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman
Sri Rahayu Samsudin, Pengasas ORKIDS.
Memang tidak dapat disangkal, kos membesarkan seorang anak OKU memakan belanja yang besar berbanding anak normal.
Dalam artikel sebelum ini, seorang ibu mendedahkan kos pemeriksaan awal bagi seorang anak autistik mencecah RM10,000.
Namun menurut Rahayu, kos itu boleh menjadi lebih tinggi jika anak terlibat mengalami masalah kesihatan lebih-lebih lagi anak-anak yang sering terkait dengan masalah kesihatan seperti komplikasi jantung.
“Contoh kita dah hantar anak-anak ini ke sekolah dan ke pusat jagaan, lepas tu kena hantar pula ke pusat terapi, dah berapa ratus, mungkin kos sebulan mencecah ribu.
“Kalau ada yang alami masalah kesihatan, contohnya Sindrom Down yang ada masalah jantung, usus ataupun masalah lain seperti pendengaran dan penglihatan kabur. Jadi, benda-benda macam itulah yang akan menjadi kos lebih tinggi,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya lebih prihatin terhadap keperluan pendidikan dan sokongan anak-anak OKU dengan menyediakan lebih banyak pusat komuniti atau clubhouse.
"Mungkin bina clubhouse community yang semua aktiviti ada dalam tu," kata Sri Rahayu.
Di United Kingdom (UK), satu kelab komuniti yang diberi nama Phab ditubuhkan di mana ia memberi peluang kepada kedua-dua golongan OKU dan normal dari semua peringkat umur untuk bersosial melalui pelbagai aktiviti khususnya aktiviti luar seperti berkayak, memanah, memanjat tembok dan banyak lagi.
Dengan adanya sokongan berterusan daripada masyarakat dan kerajaan, Sri Rahayu berharap dapat mengurangkan jurang perbezaan dalam pendidikan dan membantu anak-anak OKU menjadi lebih berdikari, walaupun mereka tidak dapat bekerja seperti anak-anak normal.
Beliau berharap lebih banyak peluang diberikan kepada anak-anak OKU untuk berkembang dan terus aktif dalam kehidupan sekali gus mengurangkan kebimbangan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos tinggi untuk memastikan anak mereka mendapat pendidikan yang layak.
“Itulah harapan yang ingin dicapai, supaya setiap anak OKU, tanpa mengira latar belakang keluarga, dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dengan sokongan yang secukupnya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram