Ilmu kebenaran jamin masa depan manusiawi lebih baik — Raja Permaisuri Agong


  • Primer
  • Isnin, 27 Jan 2025

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah (kanan) bertitah bahawa keadilan memerlukan penyebaran ilmu yang benar.

PENDIDIKAN yang hanya fokus kepada penyampaian ilmu tanpa disertakan dengan nilai-nilai murni berisiko melahirkan individu yang berpotensi menjadi korup dan tidak bertanggungjawab, titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa keadilan memerlukan penyebaran ilmu yang benar, manakala ilmu yang salah dan menyesatkan akan membawa kepada ekstremisme dan ketidakadilan.

"Justeru, ilmu kebenaran adalah amat penting dan diperlukan untuk menjamin masa depan manusiawi yang lebih baik," titah Seri Paduka Baginda pada Persidangan Diraja Berkenaan Islam dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Kuala Lumpur pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara berebut angpau, 4 maut sesak nafas kena himpit di Kemboja

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Permaisuri Agong berkongsi titah pada persidangan bertemakan Keadilan dalam Islam: Konsep, Sejarah dan Cabaran Masa Kini.

Dalam Titah Diraja, Seri Paduka Baginda turut menekankan kepentingan untuk bermuhasabah dan sentiasa mencari panduan serta penyelesaian ke arah masa depan yang lebih harmoni dan sejahtera untuk kemanusiaan sejagat.

Persidangan itu dianjurkan oleh UTM, Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Ketamadunan Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku Sejarah Islam di Alam Melayu: Antara Fakta dan Rekaan oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, yang menterjemahkan karya asal Historical Fact and Fiction oleh Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyaksikan penyerahan cek oleh QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang diwakili Pengarah Urusannya Nehchal Khanna kepada Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram