Kenakan cukai minuman bergula dapat cegah obesiti dan diabetes — Penyelidik


  • Sihat
  • Khamis, 07 Nov 2024

Mengenakan cukai minuman manis memberi impak positif dengan pembelian minuman sedemikian berkurangan sebaik cukai itu dilaksanakan, menurut penyelidikan di Universiti Washington. — Agensi

MENINGKATKAN harga minuman manis melalui cukai dapat mengurangkan penggunaan bahan itu sebanyak 47 peratus, menurut penyelidik dari Universiti Washington (UW) di Amerika Syarikat.

Ini seterusnya, dapat membantu mengurangkan tahap obesiti dan diabetes.

Pasukan penyelidik meneliti kesan cukai ke atas minuman manis di Seattle, San Francisco, Oakland dan Philadelphia, iaitu empat daripada lapan bandar di AS yang baru-baru ini mengenakan langkah-langkah untuk mengurangkan pengambilan minuman tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Malang 3 kali ganda, wanita Thailand maut tersangkut kabel elektrik sebelum diseret lori lalu dihempap motor

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita di Serdang Bedagai maut ditikam suami ketika menyanyi 'live' angkara cemburu, masih berbaik dengan bekas suami lama

"Isi rumah berpendapatan rendah mengurangkan pembelian minuman manis mereka hampir 50 peratus (%) , manakala isi rumah berpendapatan tinggi mengurangkan pembelian sebanyak 18%," kata pasukan itu, dalam penemuan yang diterbitkan oleh jurnal Health Economics.

Sejumlah negara dan pihak berkuasa tempatan telah mengenakan cukai untuk menjadikan minuman manis lebih mahal, dengan alasan untuk mengurangkan kesan buruk penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup seperti diabetes.

Konfederasi Diabetes Antarabangsa menganggarkan lebih 500 juta orang dewasa – satu daripada 10 orang di seluruh dunia – menghidap diabetes, dan memberi amaran bahawa jumlah itu boleh meningkat kepada lebih 740 juta menjelang pertengahan abad ini.

"Pasukan UW menyifatkan langkah-langkah ini sebagai dasar penting terhadap peningkatan kadar obesiti dan pengurangan diabetes jenis 2.

"Minuman ini mempunyai pelbagai kesan kesihatan dan tidak memberikan sebarang khasiat," kata penulis bersama kajian dan profesor ekonomi di UW, Dr Melissa Knox.

Dr Knox dan rakan sekerjanya menjejak bagaimana 400 isi rumah membeli barangan selama dua tahun – sebelum dan selepas pelaksanaan cukai di bandar mereka.

Kajian itu susulan penyelidikan UW yang mengaitkan cukai di Seattle dengan pengurangan indeks jisim badan (BMI) dalam kalangan kanak-kanak di bandar itu.

"Secara bersama, penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa cukai itu memberi manfaat kesihatan yang diingini dan bukti baru ini memberikan alasan untuk percaya bahawa manfaat kesihatan mungkin lebih besar bagi isi rumah dengan pendapatan yang lebih rendah," kata penulis bersama kajian dan profesor sistem kesihatan serta kesihatan penduduk di UW, Dr Jessica Jones-Smith. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram