SIAPA sangka rutin awalnya untuk menghilangkan rasa bosan bertukar menjadi kerjaya dan aktiviti menyeronokkan ketika dunia berdepan dengan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengasas produk kecantikan Farra Beauty Skincare dan KF Studio, Farra Fareez mengembangkan kariernya dengan membuat gubahan meja makan yang menjadi inspirasi pelbagai golongan masyarakat.
Hal tersebut menyebabkan beliau membuka sebuah perniagaan dengan menawarkan berbagai jenis perkakas pinggan mangkuk yang begitu cantik seperti set pinggan edisi Seri Kantan pada harga mampu milik.
BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara
Malah, KF Studio juga dijadikan lokasi tetamu untuk singgah, melihat dan mendapatkan pelbagai koleksi barang perkakas yang cantik terletak di Benjamin Storage, Kg Baung Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Set pinggan edisi Seri Kantan yang dikeluarkan oleh KF Studio.
Wanita berusia 39 tahun itu mengakui sebelum ini beliau tidak begitu cerewet atau mengambil kira tentang kelengkapan dan susun atur meja makan di rumah. Mudah kata, beliau menggunakan pinggan mangkuk, perkakas dan apa saja yang ada di dapur.
“Awal-awal dahulu, saya guna apa sahaja ada di rumah. Tapi, disebabkan bosan semasa PKP, saya mula hias meja makan cantik-cantik setiap kali menghidangkan makanan.
“Lama-kelamaan, timbul rasa seronok dan puas. Lagipun, saya memang suka sesuatu yang cantik dan unik,” kata Farra Fareez.
Selain dekorasi ruang kediaman, Farra menekankan sentuhan meja makan juga memainkan peranan dalam sebuah rumah. Ia bukan sahaja menaikkan seri ruang tersebut, bahkan sebagai tanda meraikan tetamu yang hadir.
Barangkali bagi sesetengah individu tata rias meja makan kedengaran agak merumitkan, namun baginya meja makan yang dihias indah menjadi cerminan kepada pemilik kediaman.
“Selain menunjukkan sikap bersungguh-sungguh tuan rumah meraikan tetamu, meja makan yang dihias cantik turut menyerlahkan keenakan hidangan,” jelas ibu kepada empat cahaya mata itu.
Farra menunjukkan antara perkakas wajib ada di atas meja makan seperti cawan, pinggan dan mangkuk.
Bahkan menurutnya, penggunaan perkakas asas seperti pinggan makan, piring manisan, sudu, garfu, gelas, cawan, napkin dan alas pinggan merupakan antara keperluan wajib ada atas meja makan.
“Bergantung pada kreativiti pemilik kediaman dalam mencantikkan lagi meja makan menggunakan elemen bunga-bungaan untuk menyuntik suasana segar. Memadai gubahan ringkas.
“Tambahan pula, dekorasi atas meja makan tidak semestinya memerlukan perkakas yang mahal untuk tampak mewah.
“Walaupun menggunakan perkakas mahal namun jika tidak tahu cara penyusunan yang betul, maka hasilnya akan kelihatan tidak menarik dan menyakitkan mata.
”Bagaimanapun, sekiranya betul caranya, perkakas dibeli serendah RM2 pun akan nampak eksklusif. Semuanya terletak pada kebijaksanaandan kreativiti masing-masing,” jelas Farra yang juga merupakan rakan bisnes kepada perniagaan Nilofarr Health & Beauty.
Pemilihan warna turut memainkan peranan memperlihatkan kecantikan susun atur di atas meja makan.
Jelas wanita berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, gubahan meja makan memiliki banyak elemen harus dititikberatkan.
Misalnya, pemilihan jenis pinggan, peralatan, kombinasi warna, jenis makanan dan lauk dihidangkan.
Konsep gubahan pada meja makan disarankan untuk mengikut tema hidangan bagi membangkitkan selera.
Oleh itu, beliau menyarankan makanan disajikan mengikut tema. Jika ingin menghidangkan masakan ala kampung, konsep gubahan pada meja makan perlu menggunakan perkakasan bersifat klasik atau antik.
“Dekorasi sampingan digunakan seperti tudung saji, alas meja motif batik atau alas pinggan bercorak anyaman tikar boleh membangkitkan suasana desa.
“Sebenarnya, penggunaan peralatan bercorak tidak menjadi masalah sekiranya coraknya bersesuaian, asalkan elak set pinggan yang juga bercorak. Begitulah sebaliknya,” saran Farra.
Menurut beliau, buat mereka yang ingin baru berjinak-jinak menggubah meja makan, segala tip atau teknik asas boleh dipelajari menerusi platform media sosial. Tidak perlu terburu-buru membeli perkakasan baharu dan mahal.
Sebagai permulaan, guna peralatan sedia ada di rumah atau beli yang murah. Dari situ saya cuba olah dan gabungkan dengan idea sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram