NAMA Ameera Khan, 25, sering kali muncul dalam radar media sosial sebagai salah seorang pempengaruh dan ikon fesyen yang mencuri perhatian ramai. Begitu juga dengan pelakon muda berbakat dari negara jiran, Indonesia, Jefri Nichol, 26, yang sering menjadi topik perbincangan di media sosial.
Baru-baru ini, kedua-dua mereka menjadi tumpuan apabila dikaitkan dalam cerita yang mengundang pelbagai spekulasi, terutama dalam kalangan maya.
Hubungan mereka mula menjadi perhatian netizen pada November tahun lalu selepas mereka beberapa kali dilihat mesra bersama menerusi video dan gambar yang tular di platform media sosial. Namun, adakah hubungan mereka hanya sekadar gimik atau lebih daripada itu?
BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik Ameera seolah-olah memberi bayangan mengenai hubungannya dengan Jefri. — Instagram/littlemisskhan
Lebih menguatkan spekulasi netizen apabila Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan yang juga adik kepada Noor Neelofa memuat naik beberapa keping gambar termasuk fotonya bersama pelakon berkenaan di Instagramnya dengan kapsyen 'work, live, love'.
Bagaimanapun, rata-rata netizen tidak menyokong hubungan mereka berikutan Jefri sering terpalit dengan beberapa kontroversi dan dilabelkan sebagai ‘red flag’ oleh netizen termasuk penggunaan dadah pada 2019.
Walaupun telah melalui proses rehabilitasi dan kembali aktif dalam industri hiburan, isu tersebut masih menjadi topik yang sering dibincangkan oleh segelintir pengikutnya.
Lebih mengejutkan, menerusi sebuah program di YouTube 'WKWK Project by Genflix' episod 57, Jefri mengakui bahawa dia sudah meniduri lebih 20 wanita sepanjang hubungan percintaannya. Pengakuan itu menyebabkan sebahagian warga netizen menjadi lebih ‘turn-off’ dengan Jefri dan tidak merestui hubungan mereka.
Biarpun terpalit dengan pelbagai kontroversi hangat, namun ia tidak menghalang keinginan Ameera untuk ‘menamatkan’ zaman bujangnya bersama aktor itu.
Ia selepas Ameera membuat siaran langsung melalui akaun ‘ellemkay.co’ ketika mempromosikan produk pemerah pipinya (blusher) sambil membuat panggilan telefon bersama Jefri.
Dalam perbualan itu, Ameera memberi bayangan mahu berkahwin dengan pelakon kelahiran Jakarta berkenaan dengan menyatakan “Insya-ALLAH sayang, saya mahu ‘end up’ dengan awak”.
Ameera dan Jefri ketika menghadiri acara pembukaan butik Dior di pusat membeli-belah, The Gardens Mall di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas. — Instagram/littlemisskhan
Minggu lalu, kedua-dua mereka membuat penampilan umum selepas menghadiri ke acara pembukaan butik Dior di pusat membeli-belah, The Gardens Mall di Kuala Lumpur. Menerusi video yang tular di media sosial, mereka dilihat mesra dan saling tidak melepaskan tangan masing-masing.
Walaupun sering terkait dengan kontroversi, pelakon itu tetap menunjukkan pencapaian luar biasanya dalam bidang seni dan fesyen. Jefri membuktikan kebolehannya menerusi pelbagai filem dan drama yang mendapat sambutan hangat.
Dia juga menerima anugerah Aktor Pendatang Baru Terbaik di Festival Film Indonesia menerusi drama Dear Nathan (2017). Tidak hanya aktif dalam bidang lakonan, Jefri juga aktif dalam dunia fesyen dan sering menjadi pilihan untuk jenama fesyen ternama.
Begitu juga dengan Ameera yang tidak kurang hebatnya dalam dunia fesyen. Sebagai pempengaruh terkenal, wajahnya sering menjadi pilihan utama jenama fesyen antarabangsa dan kerap diundang ke pelbagai acara fesyen antarabangsa seperti Minggu Fesyen New York, Milan dan Paris.
Tidak hanya fokus pada dunia media sosial, Ameera kini semakin serius dalam dunia perniagaan pemerah pipi ‘Ellemkay’. Kejayaan dalam perniagaannya membuktikan Ameera bukan sahaja memiliki kecantikan luar biasa, tetapi juga ketajaman dalam merancang masa depan yang lebih luas.
Walaupun hubungan antara Ameera Khan dan Jefri Nichol terus menjadi perbincangan hangat, kedua-duanya tetap berjaya membina nama dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, kontroversi yang melibatkan Jefri mungkin menjadi halangan bagi sesetengah pihak untuk menerima hubungan ini sepenuhnya, namun ia tidak menghalang kedua-duanya daripada terus berkembang dalam dunia seni, fesyen dan perniagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram