Gulai belut dan stimbot keju jadi tumpuan, ini 5 port makan tawar menu enak wajib singgah di Kelantan


  • Hobi
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Banyak port makanan sedap yang patut dikunjungi jika singgah di Kelantan.

KELANTAN bukan sahaja terkenal dengan keindahan budaya tetapi juga kaya dengan pelbagai juadah yang menggamit selera.

Dari hidangan tradisional hingga konsep moden, negeri berkenaan menawarkan pengalaman gastronomi yang tiada tandingan.

Banyak lokasi makanan yang menjadi pilihan pengunjung apabila menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Antara lima port pilihan ramai yang tular di media sosial adalah seperti berikut:

photo_6055344601469928010_x

Restoran Pok Jak Belut menjadi tumpuan ramai.

1. Razak Belut Chabang Empat Tumpat (Pok Jak Belut)

Restoran Pok Jak Belut yang terletak di sebelah Petron, Kampung Bendang Luas, Chabang Empat, Kelantan dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 12.45 petang hingga pukul 6 petang.

Restoran itu terkenal dengan hidangan belut yang dimasak menggunakan resipi turun-temurun.

Gulai belut mereka yang menggunakan santan segar dan rempah ratus asli Kelantan menjadi tarikan utama pelanggan.

Bagi yang kurang menggemari gulai, anda boleh mencuba menu seperti paprik belut, belut goreng berlada dan belut goreng kunyit.

Selain belut, kedai itu juga menawarkan hidangan lain seperti ayam kampung goreng, mi segera ketam dan ayam goreng berlada.

photo_6055344601469928046_x

Kedai Cik Bakes sangat sesuai buat penggemar makanan manis.

2. Cik Bakes

Buat individu yang tercari-cari pencuci mulut, Cik Bakes bagaikan syurga makanan manis di Kelantan.

Terletak di Kota Bharu, kedai itu popular dengan kek dan pencuci mulut moden seperti burnt cheesecake, brownies dan pavlova.

Tidak lupa, kek istimewa mereka iaitu karamel masin juga sering habis terjual.

Cik Bakes juga terkenal dengan dekorasi kafe yang cantik sehingga menjadikannya lokasi kegemaran untuk pengunjung yang gemar mengambil gambar.

Bagi pengunjung yang mahu singgah, kedai Cik Bakes dibuka pada setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 10.30 pagi hingga pukul 7 malam.

photo_6055344601469928011_x

RV Kontena Bachok menawarkan banyak pilihan makanan yang berbeza.

3. RV Kontena Bachok

RV Kontena Bachok adalah satu-satunya kedai berkonsepkan kontena dengan ruang makan terbuka (open air space).

Kedai itu tidak hanya unik kerana suasananya tetapi juga hidangan tradisional seperti budu yang dihidangkan dengan pelbagai pilihan lauk-pauk.

Anda boleh menikmati budu bersama ulam-ulaman segar, ikan bakar, gulai kawah dan ayam percik.

Hidangan itu disediakan menggunakan bahan-bahan tempatan yang segar dan berkualiti.

Selain itu, lokasinya yang strategik di tepi pantai membolehkan pengunjung menikmati angin laut sambil menjamu selera.

Pada waktu malam, pencahayaan lampu neon memberikan suasana romantik dan santai.

4. Rezq Steamboat Cheese & Grill

Kelantan kini mempunyai stimbot keju pertama yang dikenali ramai iaitu restoran Rezq Steamboat Cheese & Grill.

Lokasi itu menawarkan konsep 'all-you-can-eat' dengan pelbagai pilihan daging, makanan laut dan sayuran yang boleh dicelup ke dalam keju cair yang pekat dan beraroma.

Terletak di Pasir Tumboh, restoran itu dibuka pada setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 5 petang hingga pukul 11.30 malam.

Restoran itu juga menyediakan stesen pencuci mulut dengan menyediakan aiskrim dan buah-buahan segar yang menjadikannya destinasi makan sesuai untuk keluarga.

5. Suwarin Jinda Cafe

Suwarin Jinda Cafe adalah pilihan terbaik buat pengunjung yang mahu menikmati rasa autentik masakan Thai.

Kafe itu dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula pukul 3.30 petang hingga pukul 11.30 malam.

Terletak di Wakaf Bharu, kafe itu menawarkan pelbagai hidangan Thai seperti tomyam, som tam dan pad kra pao.

Rasa yang asli dan harga yang berpatutan menjadikannya lokasi kegemaran seisi keluarga.

Selain itu, suasana kafe yang moden dengan sentuhan elemen budaya Thai memberikan pengalaman makan yang unik.

Antara tarikan lain adalah pencuci mulut tradisional Thailand seperti pulut mangga dan teh susu Thai, yang mendapat pujian ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram