SETIAP kejayaan bermakna pasti melalui perjalanan yang penuh cabaran.
Begitu juga dengan kisah Yap Hon Wai, seorang pelajar yang tidak pernah berputus asa mengejar impian untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) meskipun pernah menghadapi kekecewaan.
Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2018, Hon Wai memulakan langkah pertama dalam dunia pendidikan tinggi dengan mengikuti program Diploma Pengurusan Sumber Manusia di Pusat Pendidikan Lanjutan UM.
Hon Wai tidak pernah berputus asa dalam mengejar impian melanjutkan pengajian di UM.
Pun demikian, impiannya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di UM, tidak tidak semudah dibayangkan.
Setelah tamat pengajian diploma, Hon Wai memohon untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah melalui sistem UPUOnline.
Namun, apabila keputusan diumumkan pada 2021, dia menerima berita mengecewakan bahawa tiada tawaran buatnya.
Rasa kecewa dan putus asa menyelubungi diri, tetapi sudut hati kecil dia enggan menyerah kalah.
Dengan semangat yang tidak mudah luntur, Hon Wai tetap meneruskan perjuangan.
Walaupun mendaftar di universiti lain untuk mengikuti kursus undang-undang, Hon Wai masih berharap untuk kembali mengejar impian di UM.
Hon Wai (tengah) bersama ibu bapa tercinta.
Hon Wai kemudian mengambil langkah berani mengemukakan rayuan secara peribadi di UM.
Tidak lama selepas itu, satu keajaiban berlaku apabila dia menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-Undang di UM, pada yuran lebih rendah melalui UPUOnline.
Lebih menggembirakan, Hon Wai turut dianugerahkan Biasiswa Program Ijazah Dalam Negeri Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang membolehkan menumpukan perhatian sepenuhnya pada pengajian tanpa membebankan ibu bapanya yang sudah bersara.
Kisah perjuangan Hon Wai bukan sahaja membuktikan bahawa kejayaan memerlukan usaha berterusan, namun mengajar erti ketabahan dan keyakinan dalam menghadapi cabaran hidup.
"Ibu selalu berpesan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Waktu itu, apa yang saya lalukan hanyalah mencuba sekali lagi," katanya.
Kini, setelah hampir menamatkan pengajian, Hon Wai menyarankan pelajar pelajar lain untuk memahami syarat kelayakan akademik sebelum memilih program prauniversiti dan memastikan setiap kursus yang diambil adalah diiktiraf.
Dia percaya bahawa tiada impian yang sukar untuk dicapai dengan adanya keyakinan, usaha gigih dan sokongan daripada orang tersayang.
Kisah Hon Wai adalah bukti bahawa ketekunan dan semangat yang tidak pernah pudar, segala impian dan cabaran hidup boleh ditempuhi dan digapai. — The Star/YAP HON WAI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram