Pejuang barah payudara mahu 'ride' solo dari KL ke Arab Saudi bantu kumpul dana pesakit kanser


Sarlinawati Abdul Mues merancang untuk memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada April tahun depan.

PESAKIT kanser yang kini sudah sembuh bakal membuat perjalanan solo merentasi 22 negara dengan menunggang motosikal kesayangannya bagi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran mengenai barah.

Wanita itu, Sarlinawati Abdul Mues merancang untuk memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada April tahun depan dan dijangka berakhir di Arab Saudi dalam tempoh empat bulan.

"Saya juga bercadang untuk mengunjungi beberapa pusat kanser di negara-negara yang saya lalui, termasuk ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland," kata Sarlinawati pada majlis pelancaran Pusat Sokongan Kanser NCSM Johor di Taman Nusantara Prima, Johor pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Pantas abang Bomba’, netizen puji BBP Hang Tuah panjat ‘scaffolding’ padam kebakaran di konsert Siti Nurhaliza, Judika

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain golf berpantang maut, pesawat rosak enjin tiba-tiba mendarat cemas di padang 'putting green'

Wanita yang berasal dari Kota Tinggi itu disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada 2021.

Setelah melalui pelbagai cabaran dan penderitaan, ibu kepada seorang anak itu kini bebas daripada kanser dan berhasrat untuk membantu pesakit-pesakit lain serta menubuhkan Himpunan Kanser Semalaya.

"Saya telah bertemu ramai pesakit kanser yang menghadapi pelbagai masalah, termasuk ada yang ditinggalkan oleh keluarga dan pasangan. Ramai juga yang kehilangan pekerjaan akibat penyakit ini.

"Saya mahu melakukan sesuatu untuk membantu mereka. Perjalanan ini adalah salah satu cara saya untuk memberi sumbangan," tambahnya, sambil menegaskan bahawa menghidap kanser bukanlah pengakhiran hidup.

Sebelum ini, wanita berusia 48 tahun itu telah melakukan perjalanan solo motosikal mengelilingi Semenanjung Malaysia pada Oktober tahun lepas.

Pada majlis pelancaran tersebut, Pengarah Urusan NCSM, Associates Prof Dr M. Murallitharan mengumumkan bahawa Pusat Sokongan Kanser NCSM Johor akan mula beroperasi pada Mac tahun depan dan boleh menampung sehingga 300 pesakit.

Pusat itu akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk saringan kanser, sokongan mental dan rundingan pemakanan.

"Ini adalah pusat sokongan kanser pertama di Johor dan yang ketujuh di Malaysia. Pusat ini sangat penting kerana Johor telah mencatatkan jumlah kes kanser tertinggi di negara ini," kata Dr Murallitharan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa klinik bergerak akan disediakan di seluruh negeri bagi menawarkan saringan kanser secara percuma.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri. — The Star/VENESA DEVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram