[VIDEO] 'Group assignment pun sama', ibu sanggup teman anak demi sama-sama genggam segulung ijazah


Ibunya, Sirawati Rahimin (kiri) bersama anaknya, Siti (kanan) di UiTM Shah Alam baru-baru ini. 

ORANG ramai berasa bangga melihat detik bermakna seorang ibu bersama anaknya yang menamatkan pelajaran dan graduasi bersama-sama dalam konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam baru-baru ini.

Difahamkan, mereka berdua mengambil pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda Kewangan Perniagaan.

Menerusi hantaran di TikTok, seorang pengguna, Siti Nur Fatihah Mohd Zamri memuat naik rakaman video ketika persiapan bersama ibunya menjelang hari konvokesyen itu.

Menceritakan lebih lanjut, Siti berkata, ketika berusia 19 tahun, dia berasa selesa dengan kehidupannya selepas menjejakkan kaki ke dalam dunia pekerjaan dan tidak memiliki keinginan untuk menyambung pelajaran.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Teluk Intan hasilkan buku kartun tentera pertama di Malaysia, papar realiti dunia ketenteraan

BACA LAGI: Kisah di sebalik kanvas, wanita Orang Asli suku Cheyenne gigih bantu anak istimewa perluas kreativiti seni

Tidak hanya itu, Siti juga tidak mahu melanjutkan pelajaran dalam ijazah kerana beranggapan tiada kawan untuk menemaninya.

Namun, Siti berkata, ibunya nekad untuk mengajaknya menyambung pelajaran bersama yang menyebabkan mereka berdua kini mampu menggenggam segulung ijazah.

"Jom kita sambung belajar sama-sama, barulah tak bosan," Siti mengenang kata-kata ibunya kepadanya.

Ibunya, Sirawati Rahimin berkata, dia mulai mengikuti pengajian itu sewaktu berusia 41 tahun.

Tambahnya lagi, mereka menyambung memilih untuk pelajaran tersebut secara separuh masa.

"Sama kos, sama kelas, sama-sama belajar untuk ambil peperiksaan. Sama group assignment dan sama waktu graduasi.

"Kami berdua belajar secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ)," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa bangga melihat usaha seorang ibu demi membolehkan anaknya menjejakkan kaki ke menara gading.

"Sama macam saya. Mama cakap dia tak sempat naik pentas masa graduasi sebab dah bersalinkan saya. Jadinya, saya ambil kursus lain dengan mama, naik pentas sama-sama dekat Universiti Putra Malaysia. Tahniah kedua-duanya," kata Ruzanahum.

"Pergh serius lah. Rare betul. Congrats," tulis Dearissa.

"Macam ini tak adalah homesick," tulis Xia Shyne. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram