MENGHIDAP autisme tidak menjadi penghalang buat A. Arulini untuk menyerlah dalam dunia muzik.
Sejak kecil, gadis berusia 22 tahun itu sudah pandai mengalunkan melodi walaupun belum boleh bertutur.
Arulini, yang didiagnosis dengan mild autism (autisme ringan) dan masalah kelewatan pertuturan mulai mampu bercakap sewaktu usia tujuh tahun.
“Sebagai kanak-kanak, saya sukar untuk bercakap tetapi saya gunakan suara saya dengan cara lain.
“Ibu sering dengar saya menyanyi ikut melodi lagu sebelum saya boleh bercakap,” katanya.
Arulini (kiri) bersama ibunya, Khasturi (kanan), yang merupakan salah seorang penyokong terbesarnya.
Anak sulung daripada dua beradik itu juga beranggapan bahawa muzik banyak membantunya untuk meluahkan perasaan.
“Muzik buat saya rasa lebih bebas untuk menyatakan apa yang saya tak boleh katakan dengan perkataan,” katanya.
Lebih menakjubkan, anak jati Johor itu pernah mewakili negara dalam rancangan realiti nyanyian terkenal di India.
Mengimbau kenangan lama, Arulini berkata, persembahan pertamanya adalah semasa sambutan Hari Guru ketika berusia lapan tahun.
“Saya tidak tahu dari mana datangnya keberanian, tetapi waktu itu saya hanya mahu semua orang mendengar saya menyanyi,” katanya.
Bijak mengambil peluang, pelajar Universiti Multimedia itu menyertai uji bakat rancangan Sa Re Ga Ma Pa Seniors pada April lepas selepas mendapat tahu tentang iklan berkenaan menerusi media sosial.
“Seorang kawan saya nampak hantaran tentang uji bakat dan cadangkan agar saya cuba. Saya anggap ia cabaran yang menyeronokkan dan mahu mencubanya.
“Saya tak sangka terpilih, tetapi apabila berjaya mara ke pusingan seterusnya, saya diberi peluang menyertai rancangan realiti nyanyian di India,” katanya.
Arulini berada di India selama tujuh bulan untuk membolehkannya menonjolkan bakat dalam pertandingan tersebut.
Walaupun tidak berjaya sehingga ke peringkat akhir, persembahannya tetap mendapat pujian daripada para juri dan penonton.
“Ia pengalaman yang sangat seronok, dan saya gembira mencuba walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Arulini menyerlah dengan bakatnya dalam dunia muzik.
Arulini berharap kejayaannya memberi semangat kepada orang lain terutamanya mereka yang mempunyai autisme agar terus berusaha mencapai impian.
“Saya mahu buktikan autisme bukan kekurangan. Kita semua ada kelebihan masing-masing,” katanya.
Ibunya, R. Khasturi meluahkan rasa bangga dengan pencapaian anaknya itu dan akan terus menyokong apa sahaja impiannya.
“Sebagai seorang ibu, saya amat bangga. Anak saya jadi inspirasi kepada ramai, terutamanya ibu bapa dan anak-anak yang hidap autisme,” katanya. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram