KELINCAHAN tujuh kanak-kanak Sindrom Down dari Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (Orkids), Petaling Jaya, Selangor dengan aksi persembahan K-Pop mencuit hati keluarga besar Star Media Group (SMG) baru-baru ini.
Menari mengikut rentak lagu dengan pakaian ala-ala penyanyi dari Korea itu ternyata memberikan tawa dan senyuman kepada 16 kakitangan dari SMG.
Pada tahun ini, SMG memilih Orkids untuk merealisasikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjadi kelaziman.
BACA LAGI: [VIDEO] Pendakian awal pagi sajikan kejutan, 'hikers' kongsi jumpa 'makhluk' jarang jumpa
Aksi lincah tujuh kanak-kanak di Orkids dalam persembahan tarian K-Pop memberikan tawa kepada kakitangan SMG.
Tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, program 'Gift of Love' memberi peluang kepada kakitangan SMG untuk menyumbangkan hadiah mengikut wishlist kepada kanak-kanak istimewa di situ.
Menerusi program ini, setiap kanak-kanak Orkids diberikan peluang meminta apa sahaja hadiah yang mereka impikan seperti basikal, alatan melukis dan muzik, baju renang, komik satira serta permainan.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Impak Sosial SMG, Daphne Wong menzahirkan kesyukuran atas peluang yang diberi untuk merealisasikan program ini.
"Kami sangat bersyukur dapat berkumpul bersama dan membawa kegembiraan kepada anak-anak Orkids yang luar biasa ini," katanya.
Tambahnya, program tersebut bukan sekadar memberi hadiah, tetapi menghargai kanak-kanak istimewa ini tanpa meminggirkan kehadiran mereka dalam komuniti.
“Setiap kanak-kanak di sini adalah sumber inspirasi yang luar biasa, mengingatkan kita semua akan kegembiraan dan rasa sayang,” katanya.
Sri Rahayu (kiri) ketika menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Daphne.
Beliau menambah, pemberian hadiah ini bukan sahaja dari kalangan kakitangan tetapi turut disumbangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt dengan menghadiahkan sebuah basikal untuk adik Nur Hanis Nabilah Jamaluddin.
Sementara itu, Pengasas Orkids, Sri Rahayu Samsudin berkata, proses pemilihan hadiah itu dipilih sendiri oleh kanak-kanak istimewa ini dengan bantuan ibu bapa mereka.
"Ibu bapa mereka yang beritahu apa anak mereka mahukan kerana ramai kalangan anak-anak istimewa ini tidak boleh bertutur. Tapi ada anak yang boleh bercakap dan mereka bagitahu terus kepada kami," jelasnya.
Melihat kepada kejayaan program ini, Sri Rahayu amat mengalu-alukan syarikat korporat lain untuk turut serta melaksanakan program CSR di Orkids.
Katanya, inisiatif yang dilakukan oleh SMG ini bukan sekadar memberi sumbangan berbentuk barangan tetapi lebih penting adalah penerapan kesedaran mengenai kemampuan kanak-kanak Sindrom Down ini bergaul dalam kelompok masyarakat.
"Kami juga berharap dapat menyebarkan kesedaran tentang Sindrom Down kerana ramai yang masih kurang faham tentang perkembangan anak-anak ini, potensi mereka, cabaran yang dihadapi dan macam mana anak-anak ini membesar, di mana kelemahannya, apa potensi dia," ujarnya.
"Sebelum ni memang ada beberapa syarikat yang datang untuk jalankan program CSR dan kami sangat mengalu-alukan mereka. Dari segi kewangan, kami juga berharap kerajaan dapat membantu kerana kami hanya bergantung kepada yuran daripada ibu bapa dan sumbangan orang awam.
Lisa ketika sesi pemberian hadiah kepada salah seorang kanak-kanak di Orkids.
Sementara itu, salah seorang kakitangan SMG Lisa Marie Ann Ambrosc teruja menjadi salah seorang peserta yang mengikuti program itu.
"Mula-mula saya ok, seronok-seronok, lepas tu hati saya terusik melihat anak-anak istimewa di sini, bukan sebab kekurangan mereka tetapi melihat kecekalan hati mereka mengharungi kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Saya dan keluarga puas hati dapat belikan apa yang mereka nak.
"Saya menangis bukan sebab saya tengok mereka berbeza, tapi sebab saya seronok sangat tengok mereka gembira," luahnya.
Program ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada kanak-kanak, tetapi juga mengeratkan hubungan di antara komuniti dan korporat, sekali gus menunjukkan bahawa kepuasan terletak pada memberi dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram