Seni tradisional buka pintu rezeki, suri rumah di Klang bijak manfaat Instagram demi ubah kehidupan keluarga


  • Bizz
  • Isnin, 23 Dis 2024

Magespari (kiri) dan Vinothini (kanan) berniaga untuk memberi masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak.

SENI bukan sekadar hobi tetapi juga mampu menjadi pembuka pintu rezeki bagi seorang anak jati Klang, Selangor untuk meningkatkan taraf hidup keluarganya.

Wanita itu, Vinothini Munusamy berjaya membuktikan bahawa suri rumah juga boleh berjaya dalam dunia perniagaan.

Sejak mengikuti kursus seni lippan kaam dan mandala di Persatuan Transformasi Warisan Selangor (Petrawaris), Vinothini berjaya menjalankan perniagaan seni dari rumah yang membantu meringankan beban kewangan keluarganya.

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

6285050829828375115

Vinothini sedang mengasah kemahirannya dalam seni.

Melalui kemahiran yang diperolehi daripada kursus percuma di Petrawaris, beliau kini menjual seni lippan kaam, iaitu seni tradisional Gujarat yang melibatkan penggunaan tanah liat dan cermin kecil.

Selain itu, beliau juga menerima tempahan lukisan mandala yang kerap menjadi pilihan ramai kerana corak geometrinya yang menarik.

"Sebelum ini, saya hanya bergantung pada suami saya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Pendapatannya cukup-cukup saja untuk menampung keperluan asas keluarga.

"Tetapi kini, dengan hasil jualan lippan kaam, saya mampu memberi sedikit kelainan kepada keluarga terutamanya dalam memberikan kegembiraan kepada anak-anak saya," kata Vinothini sambil tersenyum.

Setiap tempahan yang diterima membawa kepuasan yang mendalam buat Vinothini.

Meskipun perniagaan itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi beliau tidak pernah merasa jemu.

6285050829828375119

Karya seni Kathakali Vinothini yang menakjubkan dihasilkan melalui teknik lippan kaam yang mencabar.

Dalam setiap karya seni yang dihasilkannya, beliau merasakan ia bukan sekadar menambah pendapatan tetapi juga memberikan kebanggaan sebagai seorang ibu dan usahawan.

"Kini saya mampu membeli lebih banyak untuk anak-anak. Saya dapat memberi mereka sedikit kegembiraan, seperti membeli makanan kegemaran mereka.

"Itu adalah pencapaian yang saya amat hargai," ujar Vinothini.

Pembuatan seni lippan kaam memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Proses bermula dengan lukisan reka bentuk pada papan kayu, diikuti dengan penggulungan tanah liat mengikut corak yang telah ditetapkan.

Selepas tanah liat dibiarkan kering, cermin kecil akan ditambahkan satu persatu pada karya tersebut, sebelum akhir sekali, lukisan dihiasi dengan warna-warna cerah seperti merah, kuning dan emas yang melambangkan kemakmuran dan kebahagiaan.

Seluruh proses itu boleh mengambil masa antara tiga hingga tujuh hari, bergantung kepada saiz dan kompleksiti reka bentuk.

"Proses membuat lippan kaam memang memakan masa dan memerlukan ketelitian, tetapi saya amat menikmati setiap langkahnya.

"Apabila saya melihat hasil akhir, saya merasa sangat berpuas hati," jelas Vinothini yang kini menghasilkan antara lima hingga sepuluh karya setiap bulan.

6285050829828375128

Pengajar seni, Marriyaee Anthony (tengah) menunjukkan seni lippan kaam kepada Magespari (kiri) dan Vinothini.

Jumlah pendapatan yang diperoleh iaitu sekitar RM300 hingga RM800 sebulan membolehkan Vinothini menyimpan sedikit wang untuk masa depan keluarganya

"Saya boleh membeli barang dapur yang lebih baik dan semasa perayaan, saya mampu membeli pakaian baru untuk anak-anak. Itu adalah kegembiraan yang sangat bermakna," katanya.

Tidak hanya bergantung pada pemasaran mulut ke mulut, wanita berasal Klang, Selangor itu juga memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan hasil karyanya.

Melalui Instagram (@mvinothini1230), beliau dapat mencapai lebih ramai pelanggan yang berminat dengan seni lippan kaam dan mandala.

"Media sosial adalah alat yang sangat berguna untuk mempromosikan produk terutama apabila perniagaan ini dilakukan dari rumah.

"Saya boleh menguruskan masa saya dengan baik antara kerja seni dan menjaga rumah tangga," tambahnya.

Perniagaan seni yang diusahakan Vinothini memberi inspirasi kepada wanita lain, khususnya mereka yang berada di kalangan golongan B40, untuk meneroka peluang perniagaan dari rumah.

6285050829828375132

Seni mandala popular kerana corak geometri dan reka bentuk simetrinya.

Vinothini juga percaya bahawa setiap wanita mempunyai potensi untuk berjaya jika mereka berusaha keras dan menggunakan kemahiran yang ada pada mereka.

"Ini adalah langkah pertama untuk masa depan yang lebih baik. Saya mahu menunjukkan kepada wanita lain bahawa mereka juga boleh berdikari, menjalankan perniagaan dari rumah, dan meraih kejayaan," kata Vinothini.

Bagi Vinothini, perniagaan itu bukan hanya tentang memperoleh wang, tetapi juga tentang meningkatkan keyakinan diri dan mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan.

"Dengan setiap karya seni yang saya hasilkan, saya merasa lebih bebas.

"Saya juga memberi contoh kepada anak-anak saya bahawa mereka perlu bekerja keras untuk mencapai impian mereka.

"Saya berharap mereka akan belajar untuk tidak menyerah dan berusaha lebih keras dalam hidup," ujarnya dengan penuh harapan. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram