Terkait kes pukul 'budak akaun' secara gilir-gilir guna objek tumpul hingga cedera, 12 pelajar UMT dibebaskan dengan jaminan polis


  • 112
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Seramai 12 pelajar UMT, Terengganu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul secara bergilir-gilir membabitkan seorang pelajar lelaki.

SERAMAI 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dibebaskan dengan jaminan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes pukul secara bergilir-gilir di kolej kediaman universiti berkenaan pada Ahad lepas.

Memetik laporan TV3, keputusan itu diambil selepas reman yang dijalankan ke atas kesemua tertuduh yang berusia di antara 20 hingga 22 tahun itu berakhir pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail mengesahkan perkara itu.

BACA LAGI: Cuma guna tulang ayam, artis muda Malaysia bijak hasilkan pameran seakan-akan tapak arkeologi di ibu negara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

12 suspek yang mencederakan mangsa dipercayai antara individu yang bergiat aktif sebagai Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa (KORSUKSIS) di universiti tersebut.

Dalam kejadian 15 Disember lalu di kolej kediaman pelajar lelaki sekitar pukul 1 hingga 5 pagi, pelajar jurusan perakaunan yang berusia 21 tahun, dilaporkan dipukul secara bergilir-gilir oleh 12 pelajar sehingga mengalami kecederaan.

Selain ditumbuk dan ditendang, kesemua suspek turut memukul mangsa dengan kayu.

Keluarga mangsa turut mendedahkan laporan perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dalaman dan tulang rusuk sebelah kiri patah.

UMT sebelum ini menzahirkan rasa dukacita serta memandang serius atas insiden itu dan belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil ke atas 12 pelajar berkenaan sehingga siasatan selesai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram