WARGANET seriau melihat rakaman video pesawat Piper PA28 yang mendarat cemas di sebuah padang golf sebelum merempuh sebuah kedai dalam kejadian di Kompleks Golf Haggin Oaks di Sacramento, California.
Video kejadian yang berlaku pada 4 Ogos lepas itu kembali tular selepas dimuat naik di media sosial pada Ahad.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, pesawat itu tidak membawa mana-mana penumpang dan hanya juruterbang yang berada di dalamnya.
Mengulas lanjut, pada awalnya, juruterbang mengalami masalah kegagalan untuk beroperasi pada bahagian enjin selepas berlepas dari Lapangan Terbang McClellan, sekitar 400 kaki di udara.
Tidak dapat kembali ke lapangan terbang, juruterbang membuat keputusan untuk membuat pendaratan cemas di kawasan padang gof yang berhampiran putting green.
Jurucakap Jabatan Bomba, Justin Sylvia berkata, pasukan kecemasan tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 1 petang.
"Pesawat itu hanya mengalami kerosakan kecil dan juruterbang dilaporkan berjalan keluar dari pesawat dengan kecederaan ringan iaitu mengalami calar kecil di tangan," katanya.
Sylvia turut menjelaskan bahawa pesawat itu melanggar sedikit bangunan kedai yang berada di situ sehingga meninggalkan kesan cat pada dinding.
Seorang pemain golf, Justin Owens, yang berada di padang gof bersyukur apabila pesawat itu tidak mendarat di atasnya.
"Ia berlaku sangat pantas, nasib pesawat tidak menuju ke arah saya kerana saya tidak sempat bergerak," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram