![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2024/12/14/3068097.jpg)
SERANGAN Asian buffalo leech atau lebih dikenali sebagai lintah kerbau Asia sering menimbulkan rasa panik kepada sesiapa yang menjadi mangsanya.
Digambarkan seperti rasa ditusuk paku tekan, gigitan lintah itu mampu membuat ramai orang berasa tidak keruan.
Seorang pemancing, JY Shen, 52, berkongsi pengalaman peribadinya sewaktu terkenang detik-detik digigit lintah tersebut.
“Setiap kali rasa gigitan lintah, saya terus panik dan cuba mencabutnya dengan cepat.
"Saya tahu ia tidak berbahaya, tetapi lintah ini menghisap banyak cecair daripada luka sehingga menyebabkan pendarahan selama berjam-jam,” katanya.
Pegang lintah kerbau Asia dengan sepasang penyepit atau alat khas jika perlu supaya ia tidak melekat pada tangan anda. — Gambar Hiasan
Lintah kerbau Asia itu boleh membesar antara 5 hingga 10 sentimeter (cm) panjang dan memiliki lebar antara 1 hingga 2 sentimeter (sm), jauh lebih besar daripada lintah kecil yang dikenali sebagai pacat.
Lintah hidup di kawasan berair dan mampu menembusi kulit haiwan yang lebih besar seperti kerbau dan gajah dengan rahangnya yang kuat.
Kajian menunjukkan lintah mempunyai tiga rahang yang dilengkapi antara 100 hingga 125 gigi mikroskopik setiap satu.
Walaupun gigitan awalnya hanya terasa sesaat, lintah akan merembeskan histamin dan enzim termasuk bahan bius yang boleh membuat mangsa tidak menyedari ia sedang menghisap darah.
Banyak cara yang boleh dibuat untuk membuang lintah dengan selamat. — Gambar Hiasan
Lintah boleh menghisap darah sehingga 30 minit sehingga menyebabkan tubuhnya membengkak hampir dua kali ganda saiz asal.
Walaupun jumlah darah yang disedut tidak mencukupi untuk mengundang masalah besar kepada mangsa, kesan rembesannya yang mengandungi antikoagulan kuat boleh menyebabkan luka berdarah sehingga 36 jam selepas gigitan lintah.
Mencabut lintah dengan tergesa-gesa mungkin kelihatan seperti cara yang jalan pintas, tetapi ia boleh mendatangkan risiko.
Antaranya, bahagian rahang lintah yang tertinggal di kulit boleh menyebabkan bengkak, gatal dan jangkitan bernanah.
Untuk merawat luka, sapukan krim antibiotik bersama kortikosteroid dan ambil antihistamin seperti cetirizine untuk mengurangkan ketidakselesaan.
Lintah boleh menyebabkan seseorang berasa tidak selesa. — Gambar Hiasan
Untuk mengelakkan gatal-gatal dan jangkitan berhari-hari, berikut ialah cara membuang lintah dengan selamat:
Tembakau
Penggunaan tembakau merupakan salah satu cara paling mudah untuk melepaskan lintah.
Dengan hanya menaburkan tembakau kering pada badan lintah, haiwan itu akan segera melepaskan gigitannya akibat bau kuat dan sifat tembakau yang menjengkelkan.
Sebagai alternatif kecemasan, perokok juga boleh menggunakan tembakau daripada rokok.
Bagaimanapun, pengguna harus berhati-hati agar tembakau tidak mengenai luka kerana ia boleh menyebabkan iritasi kulit.
Kaedah pemanasan boleh melepaskan diri daripada gigitan lintah. — Gambar Hiasan
Kaedah Pemanasan
Kaedah pemanasan juga sering digunakan untuk menangani gigitan lintah.
Hanya dengan mendekatkan pemetik api atau sumber haba lain seperti kayu bara ke lintah, haiwan tersebut akan berasa tidak selesa dan melepaskan diri.
Sekiranya pemetik api tidak tersedia, objek logam seperti sudu boleh dipanaskan dan didekatkan kepada lintah.
Pengguna disarankan berhati-hati semasa menggunakan kaedah ini untuk mengelakkan kecederaan lecur kepada kulit.
Larutan Garam
Garam merupakan bahan yang sangat efektif untuk menghilangkan lintah.
Taburkan garam kasar atau titiskan air garam pada lintah dan haiwan itu akan segera melepaskan gigitannya.
Individu yang kerap melakukan aktiviti luar boleh membawa sedikit garam yang diletakkan di dalam bekas kecil sebagai persediaan.
Dengan mengikuti panduan tersebut, anda boleh mengelakkan ketidakselesaan yang berpanjangan akibat gigitan lintah dan kekal tenang dalam situasi mencemaskan. — The Star/ALNOLD LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram