WARGA maya memuji tindakan pantas anggota bomba yang cuba memadamkan api sewaktu kotak bunga api terbakar pada konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza (Konsert The Journey of Sound) di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu malam.
Rakaman video tular di Facebook menunjukan beberapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah berusaha keras memanjat perancah (scaffolding) di belakang skrin latar untuk memadamkan api.
Ketika kejadian, penyanyi terkenal Indonesia, Judika, sedang mendendangkan lagu di hadapan ribuan peminat yang hadir.
Mengulas lanjut, Komander Operasi, Mokhtar Ramli berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar pukul 11.29 malam daripada anggota yang sudah bersedia di stadium.
"Pasukan operasi membabitkan tujuh anggota BBP Hang Tuah bersama sebuah jentera sebagai first responder untuk menangani insiden ini.
"Ketika bersedia di lokasi, berlaku kebakaran membabitkan kotak bunga api yang diletakkan di atas perancah di belakang skrin latar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau menambah bahawa anggota operasi berjaya memadamkan api menggunakan alat pemadam api dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan di lokasi kejadian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bangga melihat pasukan bomba yang bergegas mengambil tindakan demi keselamatan orang awam.
"Kebakaran kecil kalau dibiarkan makin besar. Good job abang bomba," tulis Eiyma Suhaimi.
"Terbaik abang bomba, pantas!!," tulis Isabella. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram