
PEKERJA warga asing dari China maut selepas dihempap plat besi di Kawasan Perindustrian Kendal (KIK), Desa Wonorejo, Daerah Kaliwungu, Kendal, Indonesia pada Ahad lepas.
Kejadian berlaku sewaktu tali kren yang digunakan untuk mengangkat plat besi secara tiba-tiba terputus.
Mangsa, dikenali sebagai Wu Yang, 29, maut selepas kepala dan badannya dihempap plat besi yang seberat kira-kira dua tan.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan mangsa pada awalnya berdiri di atas lori sambil mengarahkan pengangkatan plat besi menggunakan kren.
Tidak lama kemudian, secara tiba-tiba tali kren terputus sehingga menyebabkan plat besi tersebut jatuh menimpa mangsa yang berada tepat di bawahnya.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kendal, Penolong Pesuruhjaya Polis Rizky Ari Budianto mengesahkan kejadian tersebut.
"Memang benar, berlaku kemalangan kerja pada Ahad yang mengakibatkan seorang pekerja dari China meninggal dunia setelah terkena plat besi," kata Rizky.
Rizky berkata, mangsa ketika itu sedang mengarahkan kedudukan plat besi yang mahu dipindahkan dari lokasi penyimpanan bahan ke lori.
"Ketika kejadian, mangsa sedang mengarahkan pengangkatan plat besi tersebut.
"Tali kren yang mengangkat plat besi itu tiba-tiba terputus, menyebabkan plat besi jatuh dan menghempap kepala mangsa," tambahnya.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Daerah Suwondo Kendal untuk siasatan lanjut.
"Kami sedang mendapatkan maklumat daripada saksi-saksi termasuk operator kren, pembantu, pemandu dan atendan lori bagi mengetahui punca sebenar kemalangan itu terjadi," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram