[VIDEO] Hanya pisang dan pita pelekat, karya seni pelik raih bidaan RM29.3 juta


  • Hobi
  • Khamis, 21 Nov 2024

Seorang lelaki bergambar di sebelah pisang yang dilekatkan dengan pita pelekat.

SEBUAH karya seni yang hanya berupa pisang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat sehingga meraih jualan harga RM29.3 juta dalam satu lelongan pada Rabu.

Menurut Sotheby's, karya itu dibeli oleh usahawan matawang kripto, Justin Sun, sekali gus mencetuskan perbincangan global mengenai maksud sebenar seni.

Karya berjudul Comedian oleh artis Itali, Maurizio Cattelan mula mencuri perhatian dunia seni ketika dipamerkan di Art Basel, Miami pada 2019.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Echoes of Art', pelajar UPTM gigih pupuk minat generasi muda di Ampang terhadap seni warisan tradisional

BACA LAGI: [VIDEO] Demi pastikan si bulus muncul juara dunia, 'bibik' tak kisah berhabis wang ke Norway dan Amsterdam

Karya itu menarik kehadiran ramai pengunjung sehingga pameran tersebut terpaksa ditutup demi keselamatan awam dan perlindungan karya seni lain.

Dalam lelongan di Sotheby's di New York, karya tersebut bermula pada harga sekitar RM3.8 juta (AS$ 800,000) sebelum bidaan melonjak kepada RM25.3 juta (AS$ 5.2 juta) dalam masa lima minit.

Bidaan datang dari bilik lelongan, telefon dan secara dalam talian mendorong harga akhir yang termasuk yuran pembeli mencecah RM29.3 juta.

Justin yang juga seorang pengumpul seni dari China, membuat bidaan melalui telefon dan membayar menggunakan mata wang kripto.

Menurut laporan Artnet.com, pembeli perlu menggantikan pisang tersebut apabila ia mulai rosak.

"Karya ini bukan sekadar seni. Ia merupakan fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, meme dan komuniti.

"Saya percaya karya ini akan menginspirasi lebih banyak pemikiran dan perbincangan di masa hadapan serta menjadi sebahagian daripada sejarah," kata Justin dalam satu kenyataan kepada Sotheby's.

Justin juga menyatakan hasrat untuk memakan pisang tersebut seperti yang dilakukan oleh dua pengunjung dalam pameran lain sewaktu karya itu ditayangkan di banyak lokasi .

Maurizio Cattelan terkenal dengan karya seni lain yang mengagumkan seperti tandas emas dan arca Paus yang disambar meteorit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram