[VIDEO] 'Echoes of Art', pelajar UPTM gigih pupuk minat generasi muda di Ampang terhadap seni warisan tradisional


  • Hobi
  • Ahad, 17 Nov 2024

Anak-anak kecil mencuba aktiviti melakar untuk menghasilkan lukisan yang diingini.

SENI tradisional seperti pembuatan wau dan mencanting batik merupakan warisan budaya yang bernilai tinggi kerana melambangkan identiti masyarakat Malaysia.

Tidak dinafikan, selari dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup moden, seni seperti itu semakin dilupakan terutama kepada generasi muda.

Hal itu berlaku kerana kurangnya pendedahan terhadap seni tradisional dalam kehidupan seharian mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Demi pastikan si bulus muncul juara dunia, 'bibik' tak kisah berhabis wang ke Norway dan Amsterdam

BACA LAGI: [VIDEO] Pendakian awal pagi sajikan kejutan, 'hikers' kongsi jumpa 'makhluk' jarang jumpa

WhatsApp Image 2024-11-14 at 12.28.38 PM

Kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh di Ampang gembira mencanting batik.

Baru-baru ini, pelajar dari program Komunikasi Korporat, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengambil inisiatif untuk memberi pengenalan kepada generasi muda tentang seni tradisional melalui pelaksanaan sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh (PKAAB), Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

Program itu berlangsung dari pukul 7 pagi hingga 2 petang dengan melibatkan lebih daripada 50 orang anak yatim yang bergembira untuk menyertai aktiviti seni tersebut bersama-sama 32 pelajar dari UPTM.

Program itu, yang dinamakan sebagai Echoes of Art berpotensi untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang pentingnya memelihara dan menghidupkan seni warisan negara terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Ketua Jabatan Media dan Pemasaran bagi program itu, Aliesya Qaisara Jamaludin berkata, pelajar-pelajar dari UPTM melakukan persiapan rapi sebelum menjalankan program itu.

"Kami memanfaatkan media sosial seperti TikTok untuk mendapatkan inspirasi dan teknik-teknik seni yang relevan sebelum diajar kepada anak-anak yatim di pertubuhan itu," katanya kepada Majoriti.

Pengarah program, Najwa Al Khalisah Nor Anuar pula berkata, tujuan utama Echoes of Arts adalah untuk memberi pendedahan yang lebih luas kepada anak-anak yatim tentang pembelajaran seni tradisional.

"Seni tradisional biasanya tidak banyak tempat yang ajar. Kalau ada pun, mungkin di sekolah.

"Jadinya, apabila kami pergi ke tempat yang miliki ramai anak kecil seperti rumah anak yatim diharapkan dapat memberi pengenalan tentang cara-cara hasilkan banyak seni tradisional.

"Selepas ini, mereka boleh menggunakan ilmu itu untuk diterapkan dalam kehidupan harian seperti bermain wau bersama rakan-rakan," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-14 at 12.28.38 PM (1)

Proses pembuatan wau bulan kepada anak-anak yatim di PKAAB.

Antara aktiviti utama yang dijalankan dalam program Echoes of Arts adalah pengajaran mengenai proses pembuatan wau bulan, satu seni tradisional yang sangat terkenal di Malaysia terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Najwa berkata, kanak-kanak diberi peluang untuk mempelajari teknik-teknik asas dalam menghasilkan wau bulan bermula dari proses melakar reka bentuk hingga ke pembuatan struktur dan pengecatan.

Aktiviti itu bukan sahaja mengajar mereka kemahiran praktikal, tetapi juga memberi mereka pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai budaya yang terkandung dalam setiap inci rekaan wau tersebut.

"Peralatan untuk buat wau itu sikit sahaja. Kami guna pembalut hadiah yang bercorakkan batik, idi, benang dan sailor tape.

"Ada juga pelajar yang waktu itu benang dia terputus. Tetapi kami bantu untuk betulkan sampai jadi bentuk wau. Selepas itu kami ajar untuk terbangkan wau," kata Najwa.

WhatsApp Image 2024-11-14 at 12.28.32 PM

Anak-anak asnaf mencuba membuat lakaran sambil dibimbing oleh pelajar-pelajar dari UPTM.

Selain itu, satu lagi aktiviti menarik yang dijalankan adalah sesi melakar iaitu anak-anak diajar untuk menggambarkan kreativiti mereka melalui lukisan.

Najwa berkata, mereka diberi kebebasan untuk mengekspresikan idea-idea mereka dengan menggunakan pelbagai peralatan seperti pensel dan pen sambil dibimbing oleh pelajar-pelajar dari UPTM.

Program itu juga memberi pendedahan kepada teknik pembuatan batik, seni tekstil yang menjadi kebanggaan warisan budaya Melayu.

Dalam aktiviti itu, kanak-kanak diperkenalkan kepada proses mencanting dan mewarna batik yang memerlukan ketelitian yang tinggi.

WhatsApp Image 2024-11-14 at 12.28.42 PM

32 pelajar UPTM bersama lebih 50 anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh, Ampang bersatu menjayakan program Echoes of Arts.

Para peserta juga diberi peluang untuk menghias kek cawan (cupcakes) dengan pelbagai corak dan warna.

Selain itu, kanak-kanak juga berpeluang mengasah bakat seni mereka dengan mewarna buku menggunakan teknik watercolor yang memberikan mereka peluang untuk mengekspresikan kreativiti masing-masing dalam bentuk seni visual.

Najwa berkata, mereka berharap agar warisan budaya yang diajarkan itu mampu dipelihara oleh generasi muda kini agar tidak lenyap ditelan zaman.

"Kami hightlightkan tentang seni supaya perkara ini boleh menjadi hobi yang dapat manfaatkan sewaktu masa lapang. Sebenarnya, boleh juga jadi kerjaya jika mereka aplikasikan ilmu itu sehingga dewasa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram