SEORANG wanita berasal dari suku Orang Asli Amerika, Cheyenne, Karen Knight Hogan menyifatkan dirinya sebagai pelukis amatur kerana gemar menghasilkan karya lukisan.
Wanita yang sudah bersara itu sebelum ini pernah bekerja sebagai juruteknik oftalmik bertauliah selama 20 tahun.
Mengimbau kenangan lama, pada satu malam yang penuh bermakna, Karen bertemu dengan dua beradik, Laree dan Tess Herrera di acara tahunan Neighborhood Night (NN) ke-15 di Cheyenne, Wyoming, Amerika Syarikat.
BACA LAGI: Nikmati pengalaman sendirian dengan selamat, 5 tip berguna buat pengembara solo
BACA LAGI: Cita rasa Melaka, 5 destinasi 'syurga makanan' goda selera
Untuk rekod, NN ialah acara komuniti anjuran Jabatan Polis Cheyenne yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga, perniagaan dan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Sejak awal pertemuan, Karen dan Laree sudah merasai wujudnya keserasian di antara mereka.
“Kami duduk di meja yang sama dan berbual tentang aktiviti masing-masing pada masa itu.
“Saya memberitahunya yang saya melukis, dan Laree pula bercerita tentang Tess yang kreatif serta salah seorang saudara mereka yang juga pandai melukis.
“Saya kata saya sedia membantu jika Tess memerlukan bantuan untuk melukis,” kata Karen.
Tess gembira dapat menghasilkan lukisannya yang tersendiri.
Sejak itu, Karen dan Laree merancang untuk bertemu dalam masa dua minggu atau secara lebih kerap bagi mengatur sesi melukis buat Tess yang menghidap autisme.
“Saya hanya melukis untuk suka-suka,” kata Karen mengenai pengalamannya dalam bidang seni.
Bagaimanapun, Karen sudah menjual beberapa lukisannya dan juga terdapat karyanya yang diberi kepada orang lain secara percuma.
“Sejak saya melukis dalam tempoh tiga tahun, saya telah memberi lebih daripada 1,300 lukisan bersaiz kecil kepada orang.
"Dahulu, saya menghabiskan masa melukis kira-kira enam hari seminggu, tetapi sejak suami saya jatuh sakit, saya sudah kurang melukis,” tambahnya.
Karen berkata, dia melihat raut wajah ceria terpapar pada muka Tess ketika cuba menghasilkan lukisannya yang tersendiri.
“Dia ketawa riang dan tersenyum. Dia nampak sangat teruja dan menikmati setiap saat sewaktu melukis,” kata Karen.
Ketika itu, Karen dan Laree membuat sesi melukis kanvas dengan melakarkan gambar yang Tess ingin sebelum membantunya memilih warna dan memperbaiki karya seni tersebut.
Antara barangan yang digunakan adalah pen penanda cat dan cat akrilik.
Walaupun Tess diklasifikasikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), mereka sekeluarga sentiasa membantunya agar dapat menikmati kehidupan dengan puas.
Dengan begitu, masalah kesukaran pergerakan tangan dan pertuturan yang dihadapi Tess seolah-olah sama sekali tidak mempengaruhi kehidupannya.
“Tess sama seperti orang lain. Dia sangat pemurah, selalu tersenyum dan penuh dengan kegembiraan,” kata Laree.
Apabila tidak melukis bersama Karen dan ibunya, Tess suka menghabiskan masa bersama rakannya, bermain boling, menghadiri kelas memasak mingguan dan bermain dengan haiwan peliharaannya iaitu seekor tikus mondok bernama Daisy Mae.
Tess turut menghadiri sebuah kumpulan yang menyediakan program khusus untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang diklasifikasikan sebagai OKU, iaitu Treasured Abilities selama dua kali seminggu.
Karen berkata, dia berasa masa yang diluangkan bersama-sama dengan keluarga Tess sebagai detik bermakna buat dirinya yang sudah bersara.
Tambah wanita itu lagi, dia kini berhasrat untuk melakukan hal yang sama kepada kanak-kanak yang lain.
"Mengenali dan melihat betapa gembiranya Tess, adalah satu perkara yang paling memuaskan.
"Saya fikir pembelajaran sebegini dapat memberi anak OKU peluang untuk melakukan perkara yang mereka terfikir tidak mampu buat,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram