[VIDEO] Farid, Diana masih berstatus suami isteri, sebutan kes cerai bersambung 2 Disember


  • Hiburan
  • Rabu, 20 Nov 2024

Farid Kamil (kiri) dan Diana Danielle (kanan) ketika hadir prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.

PASANGAN pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle masih kekal berstatus sebagai suami isteri dan sebutan kedua berkait permohonan penceraian akan bersambung semula pada 2 Disember depan.

Peguam mewakili Diana Danielle, Datuk Akberdin Abdul Kadir menjelaskan perkara itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.

“Permohonan pertama yang berkait rujuk pada 31 Ogos 2023 sudah selesai, jadi kami akan datang semula ke mahkamah pada 2 Disember untuk permohonan kedua iaitu berkait permohonan cerai," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Diana Danielle bagi notis keluar rumah, 'ketawa besar' dengar janji Farid Kamil

BACA LAGI: Rancang sambut 'birthday' Aurora di lokasi rahsia, Farid Kamil jawab alasan berbaju Melayu persis berkabung

Mengulas lanjut, Akberdin berkata, perakuan rujuk perlu diambil di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dokumen itu perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan agar permohonan perceraian dapat dibuat pada 2 Disember depan.

"Mahkamah mendengar permohonan rujuk terlebih dahulu. Mahkamah telah mengeluarkan perintah kedua-dua mereka telah kembali sebagai suami isteri daripada tarikh rujuk tersebut.

"Jadi mahkamah arahkan untuk dapatkan perakuan rujuk (sijil) dan bawa ke mahkamah untuk permohonan kedua iaitu permohonan cerai,” katanya.

Akberdin turut berkata, jika talak dijatuhkan oleh Farid pada 2 Disember depan, ia dikira sebagai talak kedua.

Selain itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, pihaknya tiada sebarang bantahan berhubung permohonan rujuk itu.

"Untuk permohonan pengesahan rujuk itu, kami sebenarnya tiada bantahan apa-apa dengan lafaz rujuk dan kejadian di mana berlakunya rujuk. Pada pagi ini, mahkamah sudah sahkan permohonan rujuk selesai.

"Cumanya, untuk teruskan dengan permohonan kedua iaitu berkait perceraian, dokumen berkaitan dengan rujuk itu perlu ada.

"Surat perakuan cerai dan surat perakuan rujuk perlu ada dalam fail mahkamah bagi meneruskan permohonan untuk perceraian. Pada 2 Disember ini, kalau semua dokumen sudah tersusun, kita teruskan dengan permohonan perceraian," katanya.

Pada 4 November lepas, Diana hadir ke mahkamah berkenaan bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.

Permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram