[VIDEO] Mengigau sebut nama, ibu hamil tak sangka anak jadi mangsa bunuh, rogol ketika balik sekolah di Bayunwangi


  • Benua
  • Ahad, 17 Nov 2024

Mayat mangsa pembunuhan diletakkan di dalam sebuah bilik di Hospital Daerah Genteng Banyuwangi, Indonesia pada Khamis.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemui maut di kawasan kebun berhampiran rumahnya di Kecamatan Kalibaru, Banyuwangi, Indonesia pada Rabu.

Pihak berkuasa mendakwa bahawa kanak-kanak itu menjadi mangsa pembunuhan dan serangan seksual.

Ketua Polis Kalibaru, Inspektor Polis Pertama Yaman Adinata berkata, pada awalnya, ibu bapa mangsa curiga apabila anak mereka tidak pulang selepas tamat waktu persekolahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Angkara hujan lebat, pemandu wanita tak perasan kereta terjunam sampai tenggelam dalam tasik dekat pusat beli-belah The Mines

BACA LAGI: Ajal 4 pagi, suami isteri maut kena rempuh pemandu mabuk, langgar lampu merah di Pasir Gudang

Mereka kemudian menghubungi guru di sekolah untuk bertanya mengenai keberadaan anak mereka dan diberitahu bahawa mangsa telah meninggalkan sekolah pada waktu yang sepatutnya.

Setelah mendapat maklumat itu, ibu bapa bersama-sama guru memulakan pencarian dan akhirnya menemui mayat mangsa kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kecederaan parah di kepala.

"Pemeriksaan awal menunjukkan tanda-tanda kekerasan seksual dan fizikal tetapi pengesahan hanya dapat dibuat selepas keputusan bedah siasat," kata Yaman.

Mengulas lanjut, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besar Wilayah Genteng (RSUD) untuk bedah siasat dan kes kini disiasat oleh Polis Banyuwangi.

Susulan itu, pihak kerajaan Daerah Banyuwangi segera menghantar pasukan sokongan untuk membantu keluarga mangsa terutama ibu mangsa yang sedang hamil lapan bulan dan berada dalam keadaan trauma.

"Sejak kejadian dilaporkan, kami segera memberikan bantuan psikologi kepada ibu mangsa yang sering mengigau memanggil nama anaknya," kata Ketua Perkhidmatan Sosial Pemerkasaan Wanita dan Perancang Keluarga, Henik Setyorini.

Menurut Henik, keadaan ibu mangsa kini mula stabil dan sudah mulai makan walaupun dalam kuantiti kecil.

Pasukan Pusat Perkhidmatan Bersepadu untuk Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak (P2TP2A) juga membantu dalam proses bedah siasat dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan daerah.

Selain itu, pihak berkuasa telah mengunjungi rumah mangsa untuk memberikan bantuan serta memastikan keluarga mangsa terus mendapat perhatian.

Tragedi itu mendapat perhatian serius daripada masyarakat yang berharap pelaku segera ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

"Kami komited mengawal kes ini sehingga selesai," kata Henik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram