DUA jurujual maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama dua lagi rakan melanggar lopak air sebelum terbabas dan merempuh pokok dalam kejadian di Kilometer (KM) 45 jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, Terengganu sekitar pukul 4.30 petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Marang, Superitendan Mohd Sofian Redzuan berkata, ketika kejadian kenderaan dinaiki mangsa dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, kenderaan jenis Nissan Grand Livina itu terlanggar lopak air di selekoh lalu terbabas sebelum merempuh pokok di kiri jalan.
Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan itu.
"Pemandu kenderaan, Muhammad Shafiq Aizad Yusaini, 26, serta penumpang hadapan, Muhammad Razlan Rashidi Abd Razak, 19, cedera di bahagian kepala dan lengan.
"Kedua-dua mangsa yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ahmad Farid Izwan Mohd, 24, dan rakannya, Muhammad Amir Ikmal Hashim, 20.
Mohd Sofian berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun.
Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Susulan itu, Mohd Sofian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman dashcam menghubungi talian 09-6182222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram