SEORANG tenaga pengajar aplikasi mudah alih, Kartina Abdul Ghani, 53, berjaya menerbitkan empat aplikasi mudah alih dari puncak Gunung Kinabalu, Sabah melalui pendakian keenamnya pada Ahad.
Kartina yang juga merupakan ibu tunggal anak lima kini dalam ekspedisi menawan puncak tertinggi di Malaysia itu sebanyak sembilan pendakian dalam satu ekspedisi selepas berjaya tiba buat kali pertama pada 16 Oktober lepas.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan kelajuan angin, cuaca sejuk ekstrem dan juga kesukaran sambungan internet, Kartina sudah berjaya tiba di puncak setinggi 4,095 meter itu sebanyak enam kali selain menerbitkan empat aplikasi mudah alih ke perkhidmatan pengedaran digital, Google Play dan Apple App.
BACA LAGI: Legenda Terengganu akui bola sepak Malaysia perlukan TMJ
“Pada mulanya saya bercadang untuk menerbitkan satu aplikasi pada setiap pendakian namun sambungan internet di puncak kadang-kadang tidak memberikan kerjasama. Ada ketikanya, langsung tiada sambungan.
“Itu yang menyukarkan. Malah cuaca sejuk ekstrem juga membataskan saya untuk membuka komputer riba untuk saya menghantar aplikasi ke perkhidmatan pengedaran digital selain menyebabkan kuasa bateri akan cepat habis.
“Apa pun Alhamdulillah, setakat ini sudah empat aplikasi saya berjaya terbitkan selain sudah enam kali berada di puncak ini,” katanya.
Kartina berada di puncak Gunung Kinabalu. — Sekretariat Ekspedisi AMB
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas berjaya tiba buat kali keenam ke puncak Gunung Kinabalu pada pukul 6.30 pagi tadi (Ahad) dan dijangka akan dapat menamatkan misi sembilan pendakian pada 9 November ini.
Empat aplikasi mudah alih yang telah diterbitkan adalah berkisar mengenai negeri Sabah termasuk Ensiklopedia Hidupan Liar Sabah, Kalendar Perayaan dan Festival Sabah, Melawat & Melancong Ke Sabah serta Ucapan Salam dan Latar Telefon Sabah.
Mengulas mengenai aplikasi yang diterbitkan dari puncak Gunung Kinabalu Kartina berkata, dia menggunakan sistem pembina Apps Master Builder (AMB) yang tidak memerlukan pengguna tahu mengenai coding ataupun pengaturcaraan komputer.
Katanya, sistem yang digunakan amat mudah di mana pengguna hanya perlu drag and drop ratusan ciri-ciri yang disediakan dalam sistem berkenaan.
Antara laluan sukar yang ditempuhi oleh Kartina untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu. — Sekretariat Ekspedisi AMB
“Malah kami di Akademi AMB akan memberikan khidmat sokongan secara berkala sepanjang mereka menggunakan sistem kami.
“Jadi untuk mereka yang berminat untuk membangunkan aplikasi mudah alih yang mudah digunakan tanpa perlu coding dan sebagainya, saya menawarkan harga promosi ketika misi pendakian 9 kali ini berlangsung,” katanya.
Menurut Kartina, mereka yang mahu merebut peluang harga promosi itu boleh ke laman web https://bit.ly/buat-appsmudah untuk melanggan.
Selepas misi pendakian Gunung Kinabalu sebanyak sembilan kali itu, Kartina akan melakukan latihan altitud tinggi di Poland dan di Kem Pangkalan Everest di Nepal tahun depan sebelum mendaki Gunung Everest setinggi 8,848 meter pada 2026.
“Mungkin saya akan cuba pula untuk menerbitkan aplikasi mudah alih di bumbung dunia itu kelak. Insya-ALLAH jika diizinkan ALLAH,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram