[VIDEO] 'Mendonia nama Melaka', rakyat bangga anak Malaysia antara watak bangunkan Royal Clock Tower di Makkah


Wan Nazri Wan Aria merupakan ketua bagi pembinaan Royal Clock Tower di Makkah.

SIAPA sangka seorang lelaki dari Malaysia, Wan Nazri Wan Aria mampu mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang kejuruteraan dan menjadi salah satu individu penting di sebalik pembinaan Royal Clock Tower di Makkah yang diiktiraf sebagai keajaiban kejuruteraan moden.

Royal Clock Tower, yang dibina oleh syarikat terkemuka Jerman, SL Rasch menjadi sebahagian daripada projek pembesaran Masjidil Haram untuk menampung hingga 10 juta jemaah haji.

Menerusi hantaran di Facebook, seorang lelaki, Azmil Abrar mendedahkan bahawa Wan Nazri merupakan ketua untuk melaksanakan projek itu yang membuktikan bahawa bakat dan kebolehan anak Malaysia tidak kurang hebatnya di pentas dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] Alami tekanan jiwa gara-gara rindu anak jadi punca warga Nepal culik budak 2 tahun di Rawang

BACA LAGI: [VIDEO] Sentiasa sarung jersi JDT dari Kulai ke Norway, anak jati Johor tetap setia saat kalah menang

Wan Nazri dilahirkan di Melaka dan melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah biasa yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Setelah menamatkan pengajian, beliau mula bekerja di sebuah syarikat tempatan," kata Azmil Abrar.

Mengulas lanjut, pada usia 25 tahun, Wan Nazri berasakan perlunya untuk mencabar diri dan memutuskan untuk menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di Jerman dengan menggunakan wang sendiri.

"Wan Nazri memilih Jerman kerana menganggap negara tersebut sebagai pusat kejuruteraan yang paling mencabar di dunia," katanya.

Azmil Abrar berkata, Wan Nazri bertekad untuk belajar dengan lebih jauh dan berjaya mengatasi cabaran tersebut dengan cemerlang walaupun tidak mahir berbahasa Jerman.

"Pada mulanya tidak pandai berbahasa Jerman, beliau telah memaksa diri untuk belajar segera. Sebab semua pelajaran adalah di dalam bahasa berkenaan.

"Belajar jurutera dah susah, belajar peringkat ijazah sarjana pun sudah susah, belajar bahasa Jerman dah susah, apatah lagi belajar kesemuanya serentak! But he did it very well," katanya.

Setelah menamatkan pengajian dengan keputusan yang membanggakan, Wan Nazri ditawarkan pekerjaan oleh beberapa syarikat besar, tetapi beliau memilih untuk menyertai SL Rasch yang popular dalam bidang kejuruteraan struktur.

Meskipun syarikat itu ragu-ragu terhadap kemampuannya kerana berlatar belakang sebagai jurutera dari Asia, beliau berjaya membuktikan kemampuan dan keterampilannya dalam tempoh enam bulan.

"Syarikat berkenaan telah berjaya mendapatkan tender membina Royal Clock Tower di Makkah melalui rekaan yang dibuat oleh Wan Nazri.

"Atas kejayaan itu, SL Rasch telah menghantar Wan Nazri sebagai ketua konsultan untuk projek berkenaan bagi mengawasi pembinaannya keseluruhan proses pembinaan daripada A sampai Z," katanya yang pernah menemui Wan Nazri.

Kini, Wan Nazri kembali ke Malaysia dengan misi untuk mencari dan melatih bakat-bakat baru dalam bidang kejuruteraan.

Beliau berhasrat untuk memberi peluang kepada graduan muda yang mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat global.

"Dalam ucapan Wan Nazri, dia ada menyatakan yang dunia kini adalah permainan yang berbeza. Sebelum memberikan projek kepada rakan Malaysianya, dia perlu mempersiapkan mereka terlebih dahulu," katanya.

Sikapnya yang rendah hati dan komitmennya untuk membantu generasi akan datang jelas terserlah.

"Majikan di SL Rasch membantu membuka pintu untuk saya, kini saya ingin membantu membuka pintu untuk orang lain. Saya hanya mengembalikan jasa," katanya Wan Nazri kepada Azmil.

Wan juga menunjukkan sokongan padu terhadap projek yang sedang diusahakan oleh kumpulan yang ditemuinya, berjanji untuk memberikan bantuan sebaik mungkin.

Lebih mengagumkan, ketika Azmil bertanya mengenai kemahiran bahasanya, Wan Nazri menjawab 'sudah tentu, saya orang Melayu' dengan penuh bangga.

Untuk rekod, pada tahun 2017, beliau telah menerima pangkat gelaran Datuk oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

Selain itu, menerusi hantaran di TikTok, dilihat orang ramai juga bangga apabila mengetahui rupanya anak jati Melaka terlibat dalam bangunan yang serba gah di tanah suci.

"Lahir di Melaka. Membesar di Segambut. Sekolah rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Maxwell. Itulah Wan Nazri, pengapit saya waktu kahwin dulu," tulis Din.

"Tahniah orang Melaka, mendonia nama Melaka. Proud to be Melakarians," tulis Rabbani Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram