SEORANG kanak-kanak berusia 11 tahun mencuri perhatian ramai dengan kehebatannya dalam aksi memanah, iaitu salah satu sukan yang menjadi sunnah atau dituntut kepada umat Islam untuk mempelajarinya.
Anak muda itu, Muhammad Khalif Zakwan Rizal, bukan sahaja menunjukkan kecekalan luar biasa dalam mempelajari seni memanah tetapi juga menjadi sumber inspirasi bagi mereka yang ingin menerapkan sunnah dalam kehidupan seharian.
Khalif berkata, dia sudah mulai mempelajari aktiviti memanah sejak berusia 9 tahun lagi iaitu apabila masjid berhampiran rumahnya, Masjid As-Solihin Padang Jawa, Shah Alam, Selangor menyediakan pembelajaran secara percuma bagi individu yang berminat menceburi aktiviti itu.
Khalif (kiri) bersama rakannya dalam latihan memanah.
Menurut anak jati Shah Alam itu, suasana masjid yang mesra kanak-kanak menjadi pemangkin kepada minatnya yang mendalam terhadap sukan memanah yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
"Ada coach di masjid itu. Biasa kita tengok masjid-masjid lain kadang budak kecil tidak boleh buat bising.
"Tetapi masjid itu berbeza, kerana terdapat kemudahan tempat khas untuk belajar memanah yang disediakan," katanya kepada Majoriti.
Khalif (kiri) berlatih memanah bersama jurulatih dan kawan-kawannya yang lain.
Kehebatan Khalif dalam memanah juga membolehkannya untuk memasuki pelbagai acara dalam memanah yang dianjurkan pihak masjid.
"Banyak acara memanah yang sudah saya join seperti Kejohanan Memanah Tradisional peringkat kebangsaan, Ultimate Archer Challenge peringkat Kebangsaan, Simulasi KMTK Cilik Remaja dan Cabaran Memanah Alfa 2024 siri 3," katanya.
Khalif juga kadangkala memasuki kategori dewasa dalam penyertaan memanah, walaupun usianya masih muda.
Malah, Khalif juga kadangkala memasuki kategori dewasa dalam penyertaan memanah, walaupun usianya masih muda.
Mendukung bakat anak, bapa kepada Khalif, Rizal Hussin berkata, dia juga menghadiahkan sebuah busur tradisional buat Khalif bagi memudahkannya untuk berlatih dengan menggunakan alat pemanah sendiri.
"Di masjid ada tersedia pemanah, tetapi Khalif juga ada pemanah sendiri untuk mudahkannya berlatih secara berterusan.
"Lepas balik sekolah sekitar pukul 6 macam itu, Khalif biasanya akan habiskan waktu lapangnya untuk memanah," katanya.
Rizal berkata, perjalanan anaknya dalam sukan memanah dilihat bukan sahaja membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran fizikal tetapi baik untuk meningkatkan stamina.
"Baik untuk minda dan ketangkasan dia bermain. Waktu awal-awal bermain, Khalif guna teknik 3 fingers tetapi sekarang dia sudah mampu guna teknik thumb," katanya.
Rizal dan isterinya, Tengku Nuzaihan juga apabila memiliki masa terluang membawa Khalif untuk berlatih di luar seperti ke pantai agar tekniknya dalam memanah lebih hebat.
"Pernah juga bawa dia ke Pantai Teluk Ketapang di Terengganu untuk latih memanah waktu pulang ke kampung isteri," kata bapa Khalif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram