[VIDEO] Kawasan tanah runtuh jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands masih belum pulih, pengguna diminta berwaspada


  • Massa
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Cerun di kawasan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands masih belum pulih selepas ditutup gara-gara tanah runtuh sejak Jumaat.

SELEPAS sehari laluan di KM43.4, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup sepenuhnya gara-gara tanah runtuh, cerun di kawasan berkenaan dilihat masih belum pulih.

Menerusi hantaran di media sosial, Info Trafik Perak memuat naik rakaman video yang memaparkan situasi terkini di kawasan berkenaan.

"Tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai dan akan ditutup terus sehingga proses pembersihan selesai dilakukan. Tidak tahu ambil masa berapa lama," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bahaya pergerakan tanah cerun berterusan, jalan ke Cameron Highlands ditutup sepenuhnya

BACA LAGI: Stairs of Death antara 5 trail 'bucket list' uji kekuatan fizikal dan mental hikers kental

Dalam pada itu, Info Trafik Perak berharap agar pengguna jalan raya yang berhasrat menuju ke Ipoh, Perak menggunakan laluan Gerik, Perak.

"Kalau ada hasrat nak pergi Ipoh melalui Jalan Lojing ke Simpang Pulai atau melalui Simpang Pulai ke Gua Musang, mohon ikut laluan Gerik," tegasnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai berasa risau apabila kawasan situ sering mengalami tanah runtuh yang berbahaya kepada pengguna jalan raya.

"Memang bahaya cerun-cerun bukit yang terdedah kepada hujan! Masalah ini akan berterusan untuk selama lamanya. Strategi baik kepada para kontraktor untuk kerja baik pulih," tulis Panirchelvam Pappoo.

"Menakutkan," tulis Umi Nadia Azwa.

"Sekarang musim hujan bahaya tanah runtuh," tulis Dean Zai.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM10 juta diperlukan bagi membaiki cerun yang runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Beliau berkata, kos terbabit turut merangkumi kerja membaiki kerosakan jalan raya supaya laluan berkenaan selamat digunakan.

Pada Jumaat, Majoriti melaporkan tentang insiden tanah runtuh yang membabitkan kawasan berkenaan sehingga mengakibatkan semua laluan ditutup.

Tindakan itu juga dibuat bagi memberi ruang kerja-kerja pembersihan jalan dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram