[VIDEO] Juruterbang antara korban tragedi 2 pesawat bertembung di Australia


  • Benua
  • Sabtu, 26 Okt 2024

dua pesawat ringan bertembung di udara sebelum terhempas di barat daya Sydney pada Sabtu. — Agensi

TIGA individu disahkan maut selepas dua pesawat ringan bertembung di udara sebelum terhempas di barat daya Sydney, Australia pada Sabtu.

Pasukan kecemasan dikerahkan ke Belimbla Park, kira-kira 65 kilometer di barat daya pusat bandar Sydney selepas menerima laporan bahawa dua pesawat telah terhempas.

Polis di New South Wales (NSW) mengesahkan pada Sabtu bahawa tiga mangsa ditemukan maut di tempat kejadian.

BACA LAGI: PLKN 3.0 bermula lebih awal, peringkat pertama Januari 2025

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk berang lembu berkeliaran di Sabak Bernam punca kemalangan maut, minta 'tuan' tampil bertanggungjawab

Mangsa yang terkorban adalah seorang juruterbang manakala dua lagi mangsa merupakan penumpang yang identitinya masih belum dapat dikenalpasti.

Australian Broadcasting Corporation melaporkan bahawa salah satu pesawat terbakar sejurus terhempas.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan berkaitan pengangkutan dalam satu kenyataan menyebut bahawa pesawat yang terlibat dalam perlanggaran itu adalah Jabiru dan Cessna 182.

"Sekumpulan penyiasat keselamatan pengangkutan dari pejabat ATSB di Canberra yang berpengalaman dalam operasi dan penyelenggaraan pesawat sedang bersiap untuk ke lokasi kemalangan kedua-dua pesawat bagi memulakan operasi bagi pengumpulan bukti," katanya.

Mengulas lanjut, pihak penyiasatan akan bertindak menjalankan pemetaan tapak, memeriksa bangkai kedua-dua pesawat dan mengumpul sebarang komponen yang berkaitan untuk pemeriksaan lanjut di kemudahan teknikal ATSB di Canberra.

Polis menasihatkan penduduk tempatan supaya mengelak daripada mendekati kawasan kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram