SIAPA sangka seorang pendaki yang menghidap paraplegia mampu mencatat sejarah yang luar biasa apabila berjaya menakluk Everest Base Camp (EBC) yang setinggi 5,364 meter di atas permukaan laut (mdpl) dengan cara merangkak.
Kejayaan itu membuktikan bahawa kecacatan fizikal tidak seharusnya menjadi halangan untuk mencapai impian besar, malah ia menjadi bukti nyata bahawa segala halangan dapat diatasi dengan semangat, tekad dan usaha yang tinggi.
Paraplegia adalah keadaan yang menyebabkan seseorang mengalami lumpuh pada bahagian bawah badan, akibat kerosakan pada saraf tunjang.
Keadaan itu menyebabkan seseorang kehilangan keupayaan untuk menggerakkan kaki dan memerlukan alat bantuan seperti kerusi roda untuk bergerak.
BACA LAGI: Sibuk kerja 54 jam seminggu, doktor 'kalis kecaman' berlari sambil tolak stroller anak
Azzrulkhan (kiri bawah) pendaki OKU paraplegia yang berjaya sampai ke puncak EBC.
Berbekalkan keazaman, pendaki itu, Azzrulkhan Hasrullah Matsah menjadi contoh bahawa sesiapa sahaja boleh mencapai matlamat walaupun ia kelihatan mustahil bagi orang lain.
Anak jati Kuching, Sarawak itu beranggap sikapnya yang usaha secara menerus adalah satu hal yang patut ditiru jutaan orang di luar sana.
"Masa mula-mula mendaki, saya nampak kawan muat naik gambar swafoto di atas Bukit Broga. Saya minta dia untuk bawa mendaki bersama tetapi kena reject.
"Saya faham sahaja kerana dia pun tidak pasti saya mampu atau tidak kerana sebelum itu saya tak pernah mendaki.
"Tetapi saya tak mengalah. Esoknya, saya cari orang lain yang boleh bawa saya hiking. Tak jumpa, lusanya pula saya cari. Saya tak berhenti dan terus mencari sampaikan jumpa kawan yang mahu membawa saya mendaki," katanya kepada Majoriti.
Azzrulkhan sewaktu mendaki Bukit Tabur.
Azzrulkhan berkata, kini dia dikenali dengan nama popular iaitu Siswa Labah-Labah gara-gara mendaki dalam keadaan merangkak.
"Kali pertama saya mendaki sewaktu masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
"Ada orang cakap saya mendaki macam spiderman, dari situlah muncul nama sebagai Siswa Labah-Labah," katanya.
Menceritakan cabaran sewaktu pendakian, Azzrulkhan berkata, tubuh badannya pernah diserang hipootermia iaitu keadaan suhu badan menurun dengan mendadak di bawah paras normal di bawah 35°C (selsius).
Keadaan itu berlaku biasanya disebabkan oleh pendedahan kepada persekitaran sejuk untuk tempoh yang lama.
"Waktu 2017, saya mendaki di Gunung Trusmadi. Saya tak sedarkan diri... pengsan sampaikan terpaksa dibawa ke campsite di bahagian bawah. Seingat saya, time itu lebih kurang lagi 600 meter mahu sampai ke puncak," katanya.
Selain itu, Azzrulkhan juga menganggap pakaian merupakan salah satu cabaran pendakian, namun tetap berusaha semampu boleh untuk melakukan aktiviti yang diminatinya itu.
"Tiada baju khas untuk orang OKU yang mahu mendaki gunung. Jadinya saya memang buat eksperimen saaja. Kalau pakaian ini nampak sesuai saya pakai.
"Kalau baju, sarung tangan ini terlihat sesuai saya pakai," katanya.
Azzrulkhan gigih mendaki gunung dalam keadaan merangkak.
Bertanya soal kesukarannya merangkak untuk mendaki, Azzrulkhan berasa kepayahannya sama seperti individu yang normal.
"Sama sahaja. Kalau orang normal rasa penat, saya pun rasa penat. Tetapi sebab saya memang ada rasa suka untuk mendaki.
"Bezanya saya tak pakai kasut, tetapi merangkak guna tangan. Waktu mendaki saya akan pilih sarung tangan yang sesuai untuk membolehkan mendaki dalam keadaan merangkak dengan selesa," katanya.
Bagi memantapkan kebolehan dalam mendaki, Azzrulkhan berpendapat seseorang perlu mencuba sesuatu yang diminat dengan sedikit demi sedikit.
"Kalau betul-betul minat, kita kena cuba dahulu secara perlahan-lahan dan dalam masa yang sama, saya selalu berpegang dengan kalimat ukur baju di badan sendiri.
"Sebelum mendaki, memang saya akan selidik dahulu kawasan pendakian macam mana. Sekarang di media sosial sudah banyak... jadi boleh tengok dahulu sebelum pergi. Kalau yang terlalu susah laluan treknya saya tak pergi," katanya.
Azzrulkhan mendaki Bukit Besi sewaktu bulan puasa untuk merasai momen indah di atas bukit.
Setiap langkah pendakian mungkin membawa cabaran fizikal dan mental, namun pemandangan indah, rasa pencapaian setelah sampai ke puncak serta hubungan dengan alam sekeliling menjadikan pengalaman tersebut sangat bermakna.
Azzrulkhan berkata, dia tidak mampu melupakan kenangan berbuka puasa bersama rakam-rakannya di Bukit Besi.
"Waktu itu bulan puasa, saya dengan kawan-kawan mendaki waktu petang supaya dapat rasai makan kambing golek di atas bukit.
"Memang mendaki lagi-lagi waktu bulan puasa, ada rasa haus, tetapi pengalaman itu bermakna sangat. Enjoy sahaja," katanya.
Dia yang bekerja sebagai jurugrafik itu kini gemar bergerak menjadi content creator agar mampu menjadi inspirasi buat individu di luar sana.
"Saya nak tinggalkan legasi untuk generasi akan datang. Jadinya saya selalu buat konten dengan berharap mampu jadi inspirasi buat orang lain untuk teruskan apa yang mereka minat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram