KEHIDUPAN harian yang sibuk pastinya menyebabkan segelintir individu tidak dapat membahagikan masa mereka untuk melakukan aktiviti yang disukai.
Bagaimanapun, Dr Dyg Farah Hanim Abu Bakar pintar membahagikan masanya demi mewujudkan gaya hidup sihat dalam keluarga kecilnya.
Dia yang lebih popular dengan nama Dr Hanim menjadi inspirasi ramai apabila sanggup menolak stroller anaknya sambil berlari bersama pasangannya, Muhammad Fitri Mohd Akhir.
"Saya mula lari dengan stroller bersama anak sejak Ogos 2023 kerana lihat Mat Salih bawa anak mereka guna stroller," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Tonton filem Titanic pukul 2 pagi cetus hobi cipta kapal ikonik hanya berbekal kotak ubat gigi
Dr Hanim (kanan) bersama suami, Muhammad Fitri Mohd Akhir dalam acara Hatyai Half Marathon.
Banyak acara larian yang pernah disertainya dengan membawa kedua anaknya menggunakan strolley.
Antaranya adalah Merdeka Run Butterworth (5 km), Hari Sukan Negara Pulau Pinang (10km), Festival Arena Uniti Design Village, Pulau Pinang (5km), Penang Bridge International Marathon (half maraton 21.67km), Bayan New Year Run (10 km), Kl City Day Half Marathon di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (20.3km), Hatyai Half Marathon (21.1km) dan Pantai Full Marathon (42.2km).
Dr Hanim tidak menafikan bahawa terdapat juga kritikan yang diterima setelah namanya tular membawa stroller bersama pasangannya.
"Ada orang cakap kesian anak kena dera semata-mata nak kena layan hobi ibu bapa," katanya.
Bagaimanapun, Dr Hanim menegaskan bahawa mentaliti itu adalah salah kerana tujuannya adalah untuk menginspirasi orang di luar terutama ibu bapa untuk menjadi lebih sihat dari sudut fizikal dan mental.
Malah, Dr Hanim berkata, anaknya sangat gembira mampu mengikuti ibu bapa mereka dalam acara larian.
"Anak saya apabila ikut larian sahaja pasti tertidur dalam stroller. Mereka sangat enjoy," katanya.
Ini kerana, Dr Hanim menitikberatkan persediaaan yang rapi sebelum acara berlangsung agar anak mereka berada dalam mood yang baik.
"Pastikan anak-anak cukup tidur jadinya tak mengamuk ketika dibawa lari. Pastikan juga anak-anak cukup makan supaya tidak lapar sewaktu duduk di stroller.
"Bawa juga snek dan minuman kegemaran anak supaya tak bosan sewaktu acara. Pemiilihan waktu yang sesuai juga penting ketika berlari," katanya.
Dr Hanim (kiri) bersama suaminya (kanan), Muhammad Fitri dalam acara Bayan New Year Run.
Lebih mengagumkan, Dr Hanim berkata, sering melakukan aktiviti larian bersama anaknya yang masih kecil memberi kesan yang mendalam terhadap diri mereka.
"Anak saya yang baru umur tiga tahun dengan lima tahun dua-dua sudah dedah minat mereka dalam larian," katanya.
Pastinya tidak mudah untuk melakukan aktiviti larian bersama anak-anak kecil, Dr Hanim berkata, banyak persiapan dari sudut keselamatan juga diambil sebelum menjelang acara larian yang diikuti.
Antara perkara yang dibuat sebagai ibu bapa adalah dengan memeriksa angin tayar stroller yang akan digunakan ketika berlari.
"Pam tayar stroller siap-siap kalau angin tak cukup. Letak stroller siap-siap dalam boot kereta malam sebelum acara.
"Jangan lupa bawa juga rain cover bagi lindungi anak kalau tiba-tiba hujan ketika acara," katanya.
Kedua, kebiasaanya saya akan sediakan pakaian sukan yang akan dipakai anak-anak sewaktu acara larian.
"Sediakan siap-siap malam sebelum acara. Pin sekali bib malam itu juga. Jadinya semasa acara, bukan ibu bapa sahaja gembira, anak-anak pun gembira," katanya.
Ketiga, mereka akan menitikberatkan pemakanan yang sihat sewaktu acara itu berlangsung.
"Makan makanan berkabohidrat dua jam sebelum acara. Minum juga air isotonic dua jam sebelum acara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram