Tubuh pendaki solo wanita Malaysia terasa 'shut down', sesak nafas sebelum tawan puncak Everest Base Camp


Amirah Azhari ketika berada di puncak gunung Everest Base Camp, Nepal pada Mei lepas.

SIAPA sangka seorang wanita Malaysia berjaya menawan puncak Everest Base Camp (EBC) dengan bergerak secara solo.

Kejayaan Amirah Azhari bukan sahaja membuktikan kekuatan mental dan fizikalnya, tetapi juga menjadi simbol ketabahan dan semangat yang tinggi dalam pendakian gunung.

Sifat keberanian wanita berusia 35 tahun itu sekali gus menjadi inspirasi buat pendaki di luar sana terutama golongan wanita untuk melangkah keluar dari zon selesa dan mengejar impian mereka tanpa rasa takut.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sekadar glamping, The Hid3out Ulu Yam dan Dusun Bonda port aktiviti syok di Selangor

BACA LAGI: Rasai ribut daki Kinabalu, gangguan mistik di Nuang dan bertemu jodoh rakan hikers antara pahit manis Hamizah tawan puncak gunung

Pastinya untuk berjaya sampai ke puncak EBC bukan perkara yang mudah, memandangkan pendaki memerlukan masa berhari-hari untuk sampai ke puncak.

Amira berkata, dia hanya mengambil masa selama 11 hari untuk pergi dan pulang dari EBC.

"Pada waktu pagi hari ke lapan saya sudah sampai ke puncak EBC. Segelintir orang memang mereka mampu untuk sampai ke puncak... tetapi selepas itu memilih untuk turun dengan menaiki helikopter sebab sudah tidak mahu mendaki.

"Saya bersyukur sebab berhasil pergi dan balik tak perlu guna helikopter. Kaki tiada sebarang masalah jadi mampu untuk teruskan sahaja untuk mendaki naik ke puncak dan turun," katanya kepada Majoriti.

photo_6323474410417274255_x

Amirah ketika berada di gunung Everest Base Camp.

Bagaimanapun, Amirah mengakui pelbagai rintangan yang dilaluinya sebelum mampu mewujudkan impiannya untuk berada di atas puncak Everest Base Camp.

Menceritakan detik itu, Amirah berkata, dia pada awalnya terpaksa mengubah jadual dan bergerak pada keesokan harinya apabila tubuh badannya berasa kebas selepas mengambil pil bagi mengelak Acute Mountain Sickness (AMS) pada hari pertama dia sepatutnya mulakan pendakian.

"Badan saya rasa macam 'shutdown' dan kebas sangat. Tetapi disebabkan jadual perjalanan saya yang buat sendiri... jadinya jadual saya boleh ubah ikut suka hati sendiri kerana bukan trip ikut kumpulan pendaki lain.

"Saya juga ada upah seorang lelaki untuk bawa barang semasa pendakian. Jadinya saya cakap dekat dia yang saya tak larat sangat dan hanya mahu berehat.

"Keesokan harinya badan saya dah baik dan mulakan pendakian melalui perkampungan kecil di EBC iaitu Namche Bazaar," katanya.

Selain itu, kesukaran yang dihadapi adalah sewaktu oksigennya semakin berkurangan ketika pendakian yang dibuat sudah mencapai ketinggian yang melebihi 3000 meter.

"Saya ada memakai jam yang boleh kesan tahap oksigen dalam tubuh badan.

"Bila saya cek semakin ke atas memang tahap oksigen saya sudah menurun dan semakin menurun dalam 60 peratus. Seeloknya tahap oksigen dalam badan (kena) 90 peratus.

"Jadinya saya berehat sebentar dan pendaki secara perlahan-lahan," katanya.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi, Amirah juga tidak mampu melupakan kenangan indah ketika membuat pendakian di EBC.

Bukan seperti pergunungan lain, terdapat perkampungan-perkampungan kecil di setiap laluan pendakian yang Amirah jejaki.

photo_6323474410417274252_x

Pendakian ke Everest Base Camp pada hari kesembilan iaitu di perkampungan Gorakshep.

Antaranya adalah Lukla, Phakding, Namche Bazaar, Phortse, Dingboche, Lobuche dan Gorakshep.

"Di setiap perkampungan kecil ini ada penduduk, perumahan mereka dan ada hotel. Sebab memang ramai orang mendaki EBC.

"Jadinya kadang-kadang berehat dan bermalam di hotel. Antara hotel yang saya pergi Toktokk Village, Photse Village, Hotel Tashi Delek dan bermalam di Dingboche," katanya.

photo_6323474410417274254_x

Lembu dan yak mengangkat barangan pendaki dan penduduk tempatan.

Lebih mengujakan, Amirah berkata, terdapat pelbagai haiwan yang berada di atas gunung EBC yang digunakan untuk mengangkut barang-barang penting penduduk dan pendaki.

"Waktu dekat base camp itu, ada haiwan nama yak yang bawa turun barang-barang ekspedisi perkhemahan (pendaki yang naik ke puncak gunung Everest).

"Mereka pakai yak sebagai pengganti helikopter kerana kos helikopter mahal untuk bawa turun barang. Jadi pilihan yang ada adalah yak dan kuli.

"Bahagian atas gunung ada lembu dan yak. bawah gunung pula ada keldai," katanya.

Selepas mampu mendaki gunung yang luar biasa itu, Amirah berharap mampu mendapat 'green light' dari ibu bapanya untuk mendaki di gunung Kilimanjaro, iaitu gunung tertinggi di benua Afrika.

"Mungkin saya akan ke Indonesia semula untuk mendaki gunung Kerinchi atau gunung Kilimanjaro," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram