[VIDEO] Hasrat dua-dua nak pulang kerja terbantut, pembantu jurutera maut Yamaha R15 rempuh Viva sampai terbalik di Melaka


  • 112
  • Isnin, 05 Feb 2024

Tangkap layar kejadian motosikal jenis Yamaha YZF-R15M bertembung Perodua Viva dalam kejadian di Taman Paya Emas Lebuh Sungai Udangan - Paya Rumput - Ayer Keroh (SPA), Melaka pada Ahad malam.

SEORANG pembantu jurutera maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat nahas di lampu isyarat Taman Paya Emas Lebuh Sungai Udangan - Paya Rumput - Ayer Keroh (SPA), Melaka pada Ahad malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa Amir Asyraaf Abdul Zalil, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15M meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Batu Berendam menghala ke Masjid Tanah.

“Siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa sedang bergerak lurus sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Viva membelok ke arah kanan jalan menyebabkan berlakunya pelanggaran.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan, manakala pemandu Viva mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dalam keadaan diintubasi di Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

Mengulas lanjut, beliau berkata, pegawai penyiasat juga telah mendapatkan rakaman papan pemuka kereta (dashcam) daripada orang awam.

“Kedua-dua mangsa yang terlibat ini juga kita dapati dalam perjalanan pulang dari tempat kerja masing-masing.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, video kemalangan berdurasi 21 saat turut tular di media sosial yang memaparkan motosikal berkenaan bergerak lurus kerana lampu hijau sebelum merempuh kereta Viva yang dipercayai membelok di persimpangan dan melanggar lampu isyarat hingga terbalik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram