MALAYSIA telah menerima ubat antiviral Tecovirimat untuk Mpox, tetapi ubat itu hanya dikhaskan kepada kumpulan berisiko tinggi, kata Menteri Kesihatan.
Menerusi hantaran di laman X, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ubat itu diterima pada Selasa.
"Kumpulan berisiko tinggi terdiri daripada mereka yang mempunyai penyakit teruk dan sistem imun yang rendah," katanya.
BACA LAGI: Kandungan gugur dan bayi kurang berat antara risiko ibu hamil kerap hadam kafein
Tecovirimat adalah ubat untuk merawat penyakit cacar, Mpox, dan cowpox, yang semuanya disebabkan oleh virus daripada keluarga yang sama (orthopoxvirus).
Dzulkefly juga berkata bahawa perjanjian vaksin Mpox telah dimuktamadkan dan sedang menunggu pelaksanaan dan penghantaran yang juga buat kumpulan berisiko tinggi.
Setakat ini, Dzulkefly berkata, tiada kes Mpox baru dilaporkan di negara ini, tetapi pemantauan terus dijalankan.
Pada 10 September, Dzulkefly berkata, kerajaan mengambil semua langkah perlu untuk mengelakkan penyakit ini masuk ke negara termasuk pemeriksaan kesihatan ketat ke atas pengembara antarabangsa dengan lebih daripada enam juta orang telah diperiksa.
Pada 17 September, kementerian mengumumkan bahawa satu kes Mpox telah dikesan di Malaysia.
Pesakit tersebut adalah seorang warganegara lelaki yang mula menunjukkan simptom demam, sakit teka dan batuk pada 11 September, manakala ruam muncul pada 12 September. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram