LEBIH 6,000 pengunjung 'turun padang' menyaksikan Siri Jelajah Suria Kuasa 2 yang berlangsung di Angsana Mall, Johor Bahru, Johor pada Sabtu dan Ahad lalu.
Manakan tidak, program istimewa itu menampilkan banyak aktiviti pentas yang menarik seperti pertandingan KiraOke Suria dan konsert persembahan artis popular.
Antara yang turut hadir menggegarkan konsert berkenaan adalah Ameng Spring, Nabila Razali, Black Hanifah, Aina Abdul, Amir Masdi dan The Band.
BACA LAGI: Rebut wang tunai RM5,000, Suria FM anjur 'K188 Challenge: Ada Bran X Suria.'
Aina Abdul membuat persembahan di Siri Jelajah Suria Kuasa 2 yang berlangsung di Angsana Mall, Johor Bahru, Johor.
Selain itu, pertandingan KiraOke Suria yang diadakan membolehkan seorang peserta wanita, Masturah Azhar dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM3,000.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Ahmed Daniel, manakala tempat ketiga dirangkul oleh Mohd Khairul Shahfawi.
Ini membolehkan kedua-dua peserta membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 dan RM1,000.
Semua peserta pertandingan karaoke tersebut menunjukkan saingan sengit dari segi nyanyian apabila masing-masing memiliki kebolehan yang luar biasa.
Pemenang bagi pertandingan KiraOke Suria yang dijalankan dalam Siri Jelajah Suria Kuasa 2.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, beliau terharu dan sangat menghargai sambutan yang diberikan oleh para pendengar radio Suria.
“Respons yang kami terima mengenai pertandingan KiraOke Suria ini amatlah luar biasa.
"Saya dimaklumkan, ada peserta yang sanggup datang dari Kelantan dan Terengganu semata-mata untuk menyertai pertandingan ini.
Selain itu, Dj Lin berkata, peserta juga datangnya dari pelbagai profesyen yang berbeza seperti polis, jurutera dan pelajar.
"Mereka berusaha bersungguh-sungguh bukan saja dari segi nyanyian, penampilan juga bukan calang-calang.
"Mereka melaram sehabis baik terutama pada peringkat akhir, kami sangat terharu dengan semangat mereka dan sangat berterima kasih,” katanya.
Jelajah Suria Kuasa 2 juga bakal gegarkan Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 28 September dan 29 September ini.
Dalam pada itu, siri jelajah yang berlangsung itu juga memberi peluang kepada pendengar untuk bertemu dan beramah mesra dengan barisan penyampai Suria.
“Sudah lama Suria FM tidak mengadakan acara di Angsana Mall kerana beberapa siri jelajah sebelum ini kami adakan di suatu lokasi yang lain.
"Kembalinya kami ke sini, syukur Alhamdulillah, orang ramai memberikan sokongan yang menggalakkan. Saya difahamkan, ramai pengunjung yang datang dari 10 pagi hingga 10 malam.
Dj Lin turut memaklumkan bahawa ramai pengunjung yang turut serta pada kedua-dua hari acara berlangsung.
“Jelajah Suria Kuasa 2 adalah satu penganjuran yang berjaya kerana pengunjung bukan saja datang dari Johor Bahru, ada juga yang datang dari Singapura dan Brunei untuk sama-sama memberi sokongan dan memeriahkan suasana," katanya.
Lebih menarik, Jelajah Suria Kuasa 2 juga bakal gegarkan Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 28 September dan 29 September ini dengan menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Danial Kifli, Aisha Retno, Baby Shima, Ruffedge, Ezad Lazim, Masdo dan ramai lagi! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram